Pelitup Muka Hanya Wajib Dalam Bangunan, Pengangkutan Awam

PUTRAJAYA: Pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing, berkuat kuasa 1 Mei ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, langkah tersebut dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti dan melakukan semakan semula ke atas langkah-langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 yang boleh dilaksanakan semasa dalam fasa peralihan ke endemik.

“Pemakaian pelitup muka diwajibkan apabila berada di dalam bangunan (indoor) termasuk gedung membeli belah dan pengangkutan awam termasuk e-hailing.

“Namun pemakaian pelitup muka di luar bangunan (outdoor) dan kawasan terbuka adalah atas pilihan (optional) tetapi amat digalakkan kerana pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan,” katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya pada Rabu (27 April 2022).

Bagaimanapun katanya, pelitup muka boleh ditanggalkan semasa melakukan senaman berat di dalam bangunan tetapi ia hendaklah segera dipakai semula setelah selesai
melakukan senaman tersebut.

Khairy berkata pelitup muka juga boleh ditanggalkan sekiranya berseorangan di dalam suatu ruang, ketika sedang makan dan minum, ketika sedang berucap dan membuat persembahan.

“Pemakaian pelitup muka terutamanya di dalam bangunan dan pengangkutan awam masih lagi penting untuk melindungi diri serta orang disekeliling kita, terutamanya mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan individu immunocompromised,” katanya.

Khairy berkata pemakaian pelitup muka diwajibkan apabila berada di dalam bangunan termasuk gedung membeli belah dan pengangkutan awam termasuk e-hailing.

Menurutnya, penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dan peraturan-peraturan di bawahnya akan dikenakan ke atas individu yang gagal mematuhi arahan tersebut.

Pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan di luar bangunan (outdoor).

“Ini mengambil kira risiko penularan jangkitan yang rendah dalam keadaan di mana ventilasinya adalah baik.

“Walau bagaimanapun, KKM menggalakkan agar pemakaian pelitup muka di luar bangunan terus diamalkan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti bazaar ramadan, pasar malam dan stadium,” katanya.

Katanya pemakaian pelitup muka juga digalakkan bagi individu yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema,individu yang berisiko tinggi serta ketika melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.

Menurut Khairy, keperluan penjarakan fizikal di dalam SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) terbitan 1 April 2022 juga telah disemak semula dengan mengambil kira semua aktiviti yang telah dibenarkan dengan penggunaan 100% kapasiti ruang.

“Maka penjarakan fizikal di antara individu atau kumpulan tidak diperlukan.

“Namun begitu, penjarakan fizikal digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka,” katanya.

Katanya lagi, imbasan kod QR MySejahtera tidak diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam.

“Bagaimanapun, saya ingin menyeru supaya anda semua mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.

“Individu dengan status “High Risk” pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif COVID-19 dan individu yang diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO), tidak dibenarkan masuk ke premis; dan pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang akan memasuki premisnya,” katanya.

Khairy berkata aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk digunakan antara lain bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan COVID-19 dan arahan HSO.

Ia juga penting untuk membantu KKM dalam pencegahan dan kawalan COVID-19.

Khairy turut mengumumkan, MySejahtera, sebagai aplikasi kesihatan awam akan
ditambah baik dengan pengenalan ciri-ciri baharu, sejajar dengan Fasa Peralihan ke endemik.

“Sebagai permulaan, fungsi yang sedia ada, iaitu Hotspot Tracker yang dahulunya digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes COVID-19, kini akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker untuk melihat kawasan titik panas penyakit-penyakit lain
iaitu rabies (penyakit anjing gila), demam campak (measles), penyakit tangan, kaki & mulut (HFMD) dan denggi,” katanya.

Khairy berkata, kawasan titik panas ini akan ditentukan berdasarkan jumlah kes aktif di kawasan lingkungan pengguna untuk setiap penyakit berjangkit.

“Saya menyeru agar rakyat Malaysia mengambil peluang menggunakan fungsi yang ditambah baik ini terutamanya apabila hendak balik ke kampung, berhari raya ke rumah saudara mara atau pergi bercuti. Ini adalah langkah proaktif bagi mengelakkan daripada mengunjungi kawasan yang berisiko tinggi berlaku penularan penyakit berjangkit, terutamanya jika bersama-sama mereka yang berisiko tinggi dan mempunyai komorbiditi.

“Saya juga amat menggalakkan persatuan-persatuan komuniti menggunakan fungsi ini untuk membantu dalam mengawal
penularan penyakit berjangkit ini di kawasan kediaman masing-masing dengan melaksanakan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong serta pembersihan kawasan perumahan dan perkampungan,” katanya.

Katanya bersalaman dibenarkan, tetapi orang ramai perlu sentiasa mencuci atau membersihkan tangan dan jangan menyentuh muka selepas bersalaman.

Khairy berkata kesemua ketetapan atau protokol baharu yang dinyatakan akan mula berkuat kuasa pada Ahad, 1 Mei 2022 dan turut terpakai ke atas mereka yang sedang menjalani pengasingan.

Khairy turut mengumumkan semua senarai aktiviti yang tidak dibenarkan di dalam SOP MKN terbitan 1 April 2022, digugurkan.

“Agensi berkaitan sedang menyediakan protokol bagi pengoperasiannya. Prosedur ini akan mula berkuat kuasa pada Ahad, 15 Mei 2022,” katanya.

Khairy berkata aktiviti takbir hari raya, ziarah raya dari rumah ke rumah juga dibenarkan tetapi perlu sentiasa memakai pelitup muka.

Katanya KKM juga membenarkan aktiviti takbir hari raya di masjid dan surau seluruh negara.

Khairy berkata, aktiviti tersebut juga dibenarkan dari rumah ke rumah tetapi perlu sentiasa memakai pelitup muka.

Solat sunat hari raya juga dibenarkan diadakan di masjid dan surau dengan kapasiti 100 peratus dengan semua jemaah hendaklah sentiasa memakai pelitup muka sepanjang masa, katanya.

Menurutnya, turut dibenarkan, jamuan selepas solat di masjid atau surau, program ziarah, ziarah tanah perkuburan, rumah terbuka atau majlis hari raya indoor serta outdoor.

Individu yang disahkan positif Covid-19 dan bergejala adalah dilarang menyertai aktiviti tersebut, katanya.

Beliau berkata, protokol berkaitan sambutan hari raya itu adalah bagi memastikan Keluarga Malaysia menyambutnya dalam keadaan yang meriah dan selamat.

Protokol ini adalah sebagai panduan umum namun, tertakluk kepada ketetapan dan prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak berkuasa agama negeri, katanya.

Menyifatkan Aidilfitri pada tahun ini sebagai satu rahmat, Khairy berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan perayaan tidak berakhir dengan kemudaratan.

‘Aidilfitri kali ini adalah satu rahmat untuk kita raikan bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai selepas 2 tahun kita memerangi pandemik COVID-19.

“Oleh itu dalam Fasa Peralihan ke endemik ini, menjadi tanggungjawab kita untuk pastikan perayaan ini tidak berakhir dengan
kemudaratan.

“Kebebasan ini bukanlah bermakna kita telah menang dalam peperangan melawan COVID-19 dan kita kena pastikan perayaan ini tidak berakhir dengan kemudaratan.

“Walaupun tidak bergejala, kita berkemungkinan menjadi pembawa virus COVID-19. Amalkan dan lakukan ujian kendiri sebelum anda pulang ke kampung untuk pastikan ahli keluarga yang berisiko tinggi dilindungi daripada mendapat gejala teruk COVID-19.

“Kanak-kanak yang belum divaksin dan warga emas, terutamanya yang ada
komorbiditi, berisiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk,” katanya.

Menurut Khairy, sehingga 26 April lalu, kadar pemberian dos penggalak kepada warga emas adalah 76.8 peratus, manakala kadar pemberian dos 1 dan 2 untuk
kanak-kanak adalah masing-masing 42.3 peratus dan 21.4 peratus.