Pelebaran Bahu Jalan Siap, Jalan Tamparuli-Kiulu Dibuka Semula

199
Sumber gambar, Facebook

Oleh SURAIDAH ROSLAN
TAMPARULI: Tindakan pantas kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) melebarkan bahu jalan di kawasan tanah runtuh, di laluan KM4.5 Jalan Tamparuli-Kiulu mendapat pujian pengguna media sosial.

Pelebaran bahu jalan membolehkan jalan yang runtuh akibat mendapan dan pergerakan tanah pada awal pagi Selasa itu digunakan semula dalam tempoh 24 jam.

Seorang pengguna, Recquel menerusi Facebook miliknya (sic) “update gais..syabas, pihak terlibat tidak sampai 24 jam operasi. Boleh lalu sudah tapi style dia macam di Jambatan Tamparuli sebab pakai satu arah laluan. Jadi biar lambat asal selamat,”.

RICHARD JOMIJI

Pengarah JKR Sabah, Datuk Richard Jomiji ketika dihubungi memaklumkan, kerja-kerja pembersihan dan pelebaran bahu jalan di Jalan Tamparuli-Kiulu itu siap pada 8 malam (Selasa).

Kataya, laluan satu arah itu sudah boleh dilalui semua jenis kenderaan sejak semalam.

Laluan sepanjang 28 meter di KM4.5 Jalan Tamparuli-Kiulu ini dilaporkan terputus pada 3.30 pagi kemarin akibat mendapan dan pergerakan tanah yang dipercayai disebabkan oleh aktiviti pertanian dan pembinaan rumah di kawasan berhampiran.

Pada Selasa, Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony memberi jaminan kerja-kerja membesarkan bahu jalan di KM4.5 Jalan Tamparuli-Kiulu akan dilaksana segera dalam tempoh 24 jam ini.

Menurutnya, kerja-kerja membesarkan bahu jalan itu boleh dilakukan dengan segera kerana tidak banyak kerosakan yang berlaku.