Pelbagai Acara Menarik Sempena Sambutan Hari Jadi TYT Sabah ke-66

156

KOTA KINABALU: Pelbagai acara menarik termasuk acara baharu iaitu Konvoi Motosikal Berkuasa Tinggi bersama TYT akan dianjurkan sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi ke-66 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bermula 3 Okt hingga 5 Nov depan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Jaujan Sambakong yang juga Pengerusi Jawatankuasa (AJK) Induk sambutan itu berkata sebanyak 12 acara telah disusun sepanjang sambutan itu termasuk dua acara baharu.

“Selain konvoi motosikal berkuasa tinggi bersama TYT dari Kota Kinabalu ke Kota Belud yang akan disertai lebih 200 peserta yang akan diadakan pada 19 Okt depan, kami juga telah menambah satu acara baharu iaitu Anugerah Atlet Cemerlang yang akan diadakan pada 22 Okt.

“Acara yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah itu adalah sebagai penghargaan kepada atlet di negeri ini yang telah mengharumkan nama negeri dan negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 10 lagi acara yang diadakan adalah sama seperti tahun-tahun sebelum ini iaitu Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid negeri pada 3 Okt, Istiadat Perbarisan (5 Okt), dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang-bintang dan Pingat di Istana Negeri pada 5 Okt.

Sehubungan itu, Jaujan meminta orang ramai hadir beramai-ramai tanpa mengira fahaman politik dan anutan agama bagi mengelorakan lagi sambutan itu pada 5 Okt di Padang Merdeka bagi acara Istiadat Perbarisan.