Pelantikan NC UMS: Kementerian Pendidikan Abai Pandangan Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan dilihat sekali membelakangkan suara Sabah apabila melantik Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu tanpa memaklumkan kepada kerajaan negeri Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, walaupun kuasa pelantikan terletak di tangan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik namun pandangan kerajaan negeri sepatutnya diambil kira terlebih dahulu.

“Saya tidak dimaklumkan, mereka telah memutuskan tanpa pemakluman daripada pihak universiti kepada Canselor iaitu Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin mahupun saya sebagai Ketua Menteri.

“Kita maklum mereka sudah war-warkan perkara ini, namun saya telah maklumkan kepada menteri kalau ada perubahan kita kemukakan nama malangnya dia buat keputusan sendiri,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mengikut surat yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, pelantikan berkenaan bermula 30 Julai tahun ini sehingga 29 Julai 2022.

Sebelum ini, pada Mei lalu Kementerian Kewangan juga telah membatalkan Projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) yang bernilai RM9.4 bilion tanpa memaklumkan kepada kerajaan negeri.

Walaupun Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa mutlak, namun tindakan berkenaan bertentangan dengan semangat kerjasama antara kedua-dua pihak yang sepatutnya membolehkan pandangan rakyat Sabah turut diambil kira.

Sementara itu, ditanya adakah beliau bersetuju atau tidak dengan pelantikan Yun Hin, Mohd. Shafie berkata:

“Dia sudah putuskan memang hak dia untuk lantik mahu kata saya setuju atau tidak setuju macam mana pasal sudah diputuskan oleh kementerian,” katanya.

Mohd. Shafie berkata, perkara paling penting sekarang ialah perlu ada kerjasama antara Kerajaan Pusat dan negeri serta memastikan
peranan UMS sebagai pusat pendidikan tidak terjejas.

“Tidak menjadi masalah bagi kita yang penting universiti ini berfungsi mendidik anak-anak kita tetapi saya harap kerjasama seumpama ini diberi perhatian walaupun kita ada bidang kuasa menentukan siapa dilantik tetapi sekurang-kurangnya ambil pendapat daripada kerajaan negeri.

“Apa yang penting kepada kita perkara ini menjadi pengajaran kepada pengurusan kementerian, kita mahu membina insan manusia daripada segi ilmu pengetahuan dalam konteks pengurusan pentadbiran bukan hanya menghitung apa kita mahu tetapi perlu ada kerjasama sebaik mungkin,” tegasnya.