Pelanggaran Pertama MA63 Ke Atas Minyak dan Gas Sabah dan S’wak

6735
Zainnal Ajamain, kanan, penulis buku The Queen’s Obligation.

Oleh BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Seorang aktivis Perjanjian Malaysia mendakwa sekurang-kurangnya 50 pelanggaran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah dilakukan sejak Malaysia ditubuhkan.
Zainnal Ajamain berpendapat kerajaan Sabah dab Persekutuan tidak berminat untuk menyelesaikan pelanggaran yang dilakukan.

“Jawatankuasa demi jawatankuasa telah mereka tubuhkan dan perbincangan demi perbincangan telah dibuat. Namun, perkara 8 Perjanjian Malaysia 1963 memerlukan jawatankuasa atau perbincangan dilakukan dengan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

“Kecuali Perdana Menteri Malaysia mengakui beliau mewakili kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, maka semua kenyataan mengenai jawatankuasa atau perbincangan ini adalah sandiwara politik semata mata,” kata Zainnal pada ceramah pertama yang dianjurkan FIRSTBORN, atau Pertubuhan Generasi Anak Sulung, yang baharu sahaja berdaftar.

Selain menjadi pengerusi FIRSTBORN, Zainnal juga seorang penulis dua buku The Grand Design dan The Queen’s Obligation atau Kewajipan Ratu.

Zainnal berkata pelanggaran pertama Perjanjian Malaysia 1963 yang dimaksudkannya bersabit dengan Minyak dan Gas Sabah dan Sarawak.

Dalam topik ini beberapa pelanggaran telah dilakukan ke atas Perjanjian Malaysia 1963 melalui Akta yang tidak sah atau Akta diluluskan oleh parliamen yang melanggar perlembagaan itu sendiri.

Tambahan pula kuasa-kuasa Sabah dan Sarawak diambil walaupun dilindungi oleh Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan.
“Berani pula Najib sebagai Perdana Menteri mengatakan “sekiranya terambil dengan tidak sengaja” beliau akan pulangkan semula.

“Kita mahu lihat sama ada Najib seorang yang berpegang dengan janjinya – jangan pula beliau nyatakan nanti kata-katanya disalah petik. Bukan seperti Kerajaan Sabah yang sanggup membazirkan wang dengan membayar Peguam Negeri Sabah dan Institut Pengajian Pembangunan (IDS), namun mereka gagal memberi penjelasan terhadap pelanggaran Perjanjian Malaysia 1963, Akta yang tidak sah atau melanggar peruntukan perlembagaan,” katanya.

RAKYAT MENGHAKIMI KERAJAAN

Justeru itu, Zainnal ingin rakyat Sabah dan Sarawak mendapat manfaat dari penyelidikannya selama 15 tahun dalam isu pembentukan Malaysia, pelanggaran Perjanjian Malaysia 1963 dan pelanggaran Perlembagaan Persekutuan. Beliau akan mengeluarkan satu perlanggaran setiap bulan bagi pengetahuan orang ramai khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Kita mahu lihat apa akan dilakukan oleh Kerajaan Sabah mengenai pendedahan ini. Apa jua yang dilakukan oleh Kerajaan maka rakyat boleh menghakimi mereka.”

Dalam topik minyak dan gas, Perjanjian Malaysia 1963 telah dilanggar beberapa kali melalui beberapa Akta yang tidak sah namun diluluskan oleh parlimen. Terdapat juga Akta yang melanggar perlembagaan.

Ada kah Najib sebagai Perdana Menteri berani untuk mengotakan kata-kata beliau yang iantara lain “jika ia diambil (hak Sabah dan Sarawak) secara tidak sengaja” dia akan memulangkannya.

“Mari kita sama-sama melihat sama ada Hak Sabah dan Sarawak diambil dengan tidak sengaja dan berani kah beliau memulangkan apa jua yang TERAMBIL selepas kenyataan ini, atau ternyata beliau hanya berbohong semata-mata,” kata Zainnal.

AKTA PERLOMBONGAN PETROLEUM 1966

Najib pastinya tidak terlupa bahawa ayahnya salah seorang yang terlibat didalam pembentukan Malaysia, bapanya juga yang memulakan langkah untuk mengambilalih Minyak dan Gas Sabah dan Sarawak. Deklarasi Darurat di Sarawak pada tahun 1966 memberikan alasan untuk parliamen meluluskan Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966.

Namun, pemimpin Kuala Lumpur baru sedar bahawa mereka dan parlimen tidak berkuasa keatas Sabah dan Sarawak seperti mereka berkuasa keatas 11 negeri di Tanah Melayu.

Kuala Lumpur tidak boleh menguatkuasa Akta Pelantar Benua 1966 atau Akta Perlombongan Petroleum 1966 di perairan Sabah dan Sarawak. Ini kerana perairan wilayah Sabah dan Sarawak ditentukan oleh Mahkota British melalui Perintah dalam Majlis (Order in Council) pada tahun 1954 lagi.

Peluang mereka diperolehi pada tahun 1969 dengan tercetus rusuhan kaum di Kuala Lumpur dan perisytiharan Darurat di seluruh negara. Pada waktu ini, ayah Najib mewartakan Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 untuk dikuatkuasakan di Sabah dan Sarawak.

Di samping itu, bapanya membuat Ordinan Darurat (Perintah Penting) No. 7 1969 di mana semua perairan wilayah di Malaysia dikurangkan kepada 3 batu nautika. Sebelum ini, perairan wilayah Sabah dan Sarawak yang berdasarkan definasi pelantar benua di mana UNCLOS menentukannya tidak lebih daripada 350 batu dari persisir pantai.

AKTA PEMBANGUNAN PETROLEUM 1974

Selepas mengurangkan perairan wilayah ke 3 batu nautika, bapanya menggunakan Akta Pelantar Benua 1966 untuk mengambil alih apa sahaja yang berada di luar 3 batu nautika menjadi milik Kerajaan Persekutuan.

Beliau kemudiannya mewujudkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 untuk memindahkan apa sahaja di luar 3 batu nautika kepada Petronas.

“Begini bagaimana bapa Najib mengusahakan rompakan hak dan harta Sabah dan Sarawak pada tahun 1969.

“Sekarang Najib berkata “Jika kami dengan sengaja atau tidak sengaja mengambil apa jua milik anda (milik Sarawak), kami akan mengembalikannya.”- mari kita lihat sama ada, Najib masih bersedia “mengembalikan” apa yang telah diambil selepas membaca penjelasan ini. Atau beliau terus membisu dan berpura-pura bodoh.”

Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 tidak lagi dikuatkuasakan di perairan Sabah selepas November 2011. Perkara ini telah disahkan oleh Ketua Menteri Sabah sendiri ketika menjawab soalan ADUN Kapayan (Edwin Bosi) pada tahun 2014.

LULUS AKTA BERCANGGAH DENGAN PERLEMBAGAAN

Akta Pembangunan Petroleum 1974 juga didapati tidak sah kerana Seksyen 4 melanggar Perkara 112C(4)(b) Perlembagaan Persekutuan. Ini disebabkan Seksyen 4 memperuntukan hanya bayaran tunai dan bukannya royalty.

Sementara Perkara 112C(4)(b) mengatakan parlimen tidak boleh membuat undang-undang menafikan Sabah dan Sarawak daripada mengenakan royalty. Perkara 112C(4)(b) adalah sebahagian daripada Annex A Perjanjian Malaysia 1963 yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini jelas parlimen telah meluluskan Akta yang bercanggah dengan perlembagaan.

Namun pemimpin Putrajaya akan mengatakan mereka tidak menafikan bayaran royalty hanya perkataan royalty tidak disebut dalam Sekysen 4. Malang sekali pemimpin Sabah pula akan mengangguk-angguk kepala mereka tanda setuju. Ini bererti Perjanjian yang ditandatangani oleh Kerajaan Sabah dengan Petronas pada 14 June 1976 adalah juga tidak sah.

Ini kerana Akta yang memerlukan perjanjian ini sudah tidak sah. Apabila Akta Pelantar Benua, Akta Perlombongan Petroleum 1966 dan Ordinan No.7 1969 tidak lagi berkuatkuasa di perairan Sabah dan Sarawak, parlimen bergegas meluluskan Akta Wilayah Laut 2012 atau Akta 750.

Akta 750 ini pula tidak boleh dikuatkuasakan di perairan Sabah dan Sarawak kerana Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 sudah tidak lagi berkuatkuasa di Sabah dan Sarawak selepas 2011.

AKTA 750 TIDAK SAH

Ini telah disahkan oleh Ketua Menteri di Dewan Undangan Negeri Sabah pada tahun 2014. Di samping itu, Akta 750 melibatkan perubahan sempadan dan ini memerlukan persetujuan Sabah, Sarawak dan juga Majlis Raja-Raja.

Ini semua tidak diperolehi sebelum rang undang-undang ini dibentangkan di parlimen. Seksyen 3(3) Akta 750 pula mengambil kuasa Negeri iaitu kuasa ke atas tanah dan haknya yang diberikan oleh Mahkota Ratu British melalui Perintah dalam Majlis 1954, Kuasa Negeri seperti yang di peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Jadual 9 Senarai Undangan – senarai kuasa Negeri.

“Ini menjadikan Akta 750 tidak sah. Maka bagaimana Akta 750 berkuatkuasa di perairan Sabah dan Sarawak? Adakah ini yang dimaksudkan oleh Najib sebagai “sengaja dan tidak diketahui?” Ternyata ini bukan satu kesilapan, ini disengajakan yang dimulakan oleh bapanya sendiri.

“Hanya mereka yang jahil, buta mata dan hati tidak dapat melihat bagaimana Kuala Lumpur dan seterusnya Putrajaya mengambil kekayaan dari Sabah dan Sarawak dengan melanggar apa jua yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan apa jua yang tertulis didalam perlembagaan. Ada kah Najib mampu memperbaiki pelanggaran No.1 ini?”

BACA PELANGGARAN KEDUA MA63
AHAD – 21 Jan, 2018