Pelanggaran Ke-2 MA63 – Duti Import & Cukai Eksais Barangan Petroleum

2620

KOTA KINABALU: Sebelum Januari 2000, setiap produk petroleum yang diimport ke Sabah dan Sarawak mempunyai duti import dan cukai eksais. Pendapatan ini diperuntukkan dalam Jadual 10 Bahagian V item 1 sebagai Sumber Tambahan Hasil yang diberikan ke Sabah dan Sarawak dalam perlembagaan mengikut ketetapan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perkara ini masih wujud didalam perlembagaan tetapi apabila kita melihat anggaran belanjawan Sabah di bawah kepala 62202 Duti Import untuk Produk Petroleum dan Sub-head 62203 Eksais Duti pada Produk Petroleum, kita dapati ia hanya anggaran token berjumlah RM10.00,” kata Zainnal Ajamain Pengerusi Pertubuhan Generasi Anak Sulung Sabah atau pendeknya FIRSTBORN.

Disamping itu, di bawah kepala 82104 Anggaran Belanjawan Sabah, terdapat tajuk Pemberian Gantian Duti Import/Cukai Eksias untuk petroleum dan ini diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sabah pada kadar tetap RM120 juta setahun.

Jumlah ini tidak berbaloi jika dibandingkan dengan jumlah kutipan yang dibuat oleh Kerajaan Pusat keatas pengguna produk petroleum di Sabah. Angka ini mungkin hanya diberikan untuk menepis soalan mereka yang mula melihat Jadual 10 Bahagian V item 1 perlembagaan Persekutuan.

Dalam pembentangan pindaan Akta Jualan 1972 pada tahun 1999, YB Gaya meminta Parlimen supaya status quo dari segi pendapatan ke Sabah dan Sarawak dikekalkan. Beliau menyatakan pada masa itu Sabah mengutip RM200 – 300 juta setiap tahun dari sumber ini.

PARLIMEN TIDAK BOLEH MEMBUAT PINDAAN

Beliau juga dipetik menyebut bahawa Sabah mempunyai Cukai Jualan Negeri di Sabah dan ini tidak sama dengan Cukai Jualan Persekutuan namun, di hujung pembentangannya beliau menyokong pindaan yang akan dibuat kepada Akta Cukai Jualan Persekutuan 1972.

Daripada kenyataan ini, kita dapat melihat bahawa terdapat dua jenis Cukai Jualan, satu Cukai Jualan Persekutuan dan satu lagi Cukai Jualan Negeri (ini hanya terhad kepada Sabah dan Sarawak).

Pindaan Akta Cukai Jualan 1972 Persekutuan (pindaan) 1999 tidak pernah mendapat persetujuan daripada Sabah dan Sarawak. Sepatutnya Sabah dan Sarawak dibawa berbincang oleh Kerajaan Persekutuan kerana perkara ini adalah sebahagian daripada Perjanjian Malaysia yang telah di persetujui oleh parliament Malaya dan dimasukkan kedalam perlembagaan Persekutuan pada 20 Ogos 1963.

Tanpa persetujuan Sabah dan Sarawak ternyata ini satu lagi pelanggaran Perjanjian Malaysia 1963 sekaligus ia pelanggaran terhadap Jadual 10 Part V item 1. Pelanggaran seperti ini pula tidak bererti parlimen boleh membuat pindaan tersebut sesuka hati mereka dan secara automatik mengambil alih Duti Import dan Duti Eksais ke atas produk petroleum daripada Sabah dan Sarawak.

Siasatan lanjut ke atas perkara ini mendapati bahawa perubahan ini telah dilakukan pada tahun 1999 apabila kerajaan pusat meminda Akta Cukai Jualan 1972. Sebab utama yang diberikan adalah untuk memenuhi keperluan AFTA atau Kawasan Perdagangan Bebas Asean. Sebenarnya AFTA tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan penipuan oleh Kerajaan Pusat.

SKIM COMMON EFFECTIVE PREFERENTIAL TARIFF

Kita dapati tujuan pembentangan rang undang-undang Akta Cukai Jualan (Pindaan) 1999 adalah seperti berikut:

“Rang Undang-undang Akta Cukai Jualan (Pindaan) 1999 ini adalah bertujuan untuk meminda Akta Cukai Jualan 1972 selepas ini disebut Akta 64, bagi maksud untuk membolehkan pengenaan cukai jualan kepada kadar spesifik ke atas barangan petroleum.

“Untuk memenuhi komitmen Malaysia mengenai perjanjian kawasan perdagangan bebas Asean di bawah Skim Common Effective Preferential Tariff (CEPT), cadangan berkaitan produk petroleum ialah supaya duti import dan duti eksais atasnya dimansuhkan terus dan sebagai ganti barangan ini dikenakan cukai jualan spesifik pada kadar yang sama dengan kadar duti import dan duti eksais yang dimansuhkan itu supaya kehilangan hasil dapat dielakkan.”

Timbalan Menteri Kewangan [Dr Haji Shafie bin Haji Mohd. Salleh] extract from page 58 of the Malaysia parliamentary Hansard dated 23 December 1999.

Apa yang dimaksudkan di sini ialah untuk memenuhi keperluan AFTA di bawah bawah Skim Common Effective Preferential Tariff (CEPT), Malaysia mesti menghapuskan skim Duti Import dan Cukai Duti. Sebagai penggantinya, Malaysia akan memperkenalkan rejim Cukai Khusus supaya tidak akan kehilangan hasil daripada Duti Import dan Duti Eksais ke atas produk petroleum kepada kerajaan.

Ini tidak bererti apabila skim Duti Import dan Duti Eksais dihapuskan dan diganti dengan rejim Cukai Khusus maka pendapatan Sabah dan Sarawak juga dihapuskan. Perjanjian yang telah dimasukkan didalam perlembagaan, walau apa pun tajuk yang digunakan maksudnya adalah sama dan sepatutnya dipertahankan – ini disebabkan Sabah dan Sarawak bukan saja pengeluar minyak mentah terbesar di negara ini malah mereka juga menggunakan bahan api daripada petroleum ini.

PEMBAYARAN GRANT TETAP

Ini terang dan jelas satu diskriminasi terhadap Sabah dan Sarawak didalam pemerintahan negara.

Dalam konteks ini, Sabah dan Sarawak juga tidak sepatutnya kehilangan pendapatan daripada sumber Duti Import dan Duti Eksais. Ini kerana Kerajaan Pusat sengaja mengabaikan fakta bahawa Sabah dan Sarawak juga mempunyai kuasa keatas Cukai Perkhidmatan dan Jualan. Jika Kerajaan Pusat jujur dan ikhlas serta prihatin terhadap perkara ini, maka sudah tentu tidak ada alasan bagi Sabah atau Sarawak menuntut bayaran balik disebabkan kehilangan pendapatan.

Kerajaan Pusat pula akan menggunakan alasan bahawa mereka tidak mengambil sumber pendapatan ini dari Sabah kerana Kerajaan Pusat hanya memenuhi keperluan AFTA dan Sabah diberikan pembayaran grant tetap untuk mengganti kehilangan daripada sumber ini namun apa yang diganti tidak berbaloi.

Kesimpulannya kita dapat lihat bagaimana Sabah dan Sarawak telah ditipu dengan menggunakan alasan memenuhi keperluan AFTA, pemberian tetap bukan sebagai ganti namun digunakan sebagai alasan untuk merampas hak Sabah dan Sarawak walaupun telah diperuntukan didalam perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963.

Kerajaan Pusat menggantikan Duti Import dan Duti Eksais dengan mengenakan Cukai Khusus ke atas produk petroleum. Kerajaan Pusat membuat jaminan bahawa Sabah dan Sarawak tidak akan kehilangan hasil daripada sumber ini, sebagai ganti Kerajaan Pusat memberikan grant tetap berasaskan pendapatan dan duti eksais yang mereka terima pada masa itu.

Ini mengelirukan kerana bilangan kenderaan di jalan raya Sabah dan Sarawak semakin tahun semangkin meningkat dan penggunaan bahan api juga bertambah setiap tahun. Oleh itu, dari tahun 2000 hingga tahun 2014 Kerajaan Pusat hanya membayar jumlah tetap ke pada Sabah dan Sarawak sebanyak RM120 juta setahun, manakala penggunaan bahan api di seluruh Sabah dan Sarawak meningkat nilainya sehingga berbilion-bilion.

TIDAK LOJIK

Ini bermakna pemberian grant tetap setiap tahun seperti ini hanya menganggarkan Sabah dan Sarawak akan menggunakan bahan api bernilai RM120 juta setahun tanpa berubah. Ini tidak logik!
Jika penilitian dibuat keatas kos harga di stesen minyak di Sabah kita dapati bahawa Cukai Khusus yang dikenakan kepada Sabah bernilai 40% dari setiap ringgit yang digunakan membeli bahan api tersebut. Kadar 40% ini diperolehi daripada perbandingan harga pam antara Sabah dan Brunei.

Brunei tidak mempunyai duti import dan duti eksais dan tidak pula mengenakan apa jua jenis cukai ke atas produk petroleum yang diimport. Bererti perbezaan harga antara Sabah dan Brunei adalah nilai duti import dan duti eksais atau cukai khusus yang dikenakan oleh kerajaan untuk produk petroleum. Dari angka-angka ini, kita dapat mengetahui berapa banyak nilai pendapatan Sabah dan Sarawak yang hilang setiap tahun.

Sebagai contoh:

Sabah mempunyai kira-kira 4 juta kenderaan yang berdaftar tetapi untuk maksud anggaran ini kita hanya menggunakan angka 2 juta. Setiap kenderaan kita anggarkan menggunakan 70 liter bahan api setiap minggu dan kos bahan api purata RM2.00 seliter ini menjadikan setiap pengguna membelanjakan RM140 seminggu untuk bahan api bagi setiap kenderaan.

Jika 2 juta kenderaan menggunakan bahan api bernilai begini, ini bererti Sabah menggunakan kira-kira RM280 juta bahan api seminggu dan RM14.56 bilion setahun.

TIADA BAYARAN SELEPAS 1999

Bandingkan dengan harga pam Brunei, ini bermakna nilai duti import dan duti eksais atau Cukai Khusus yang perlu dibayar kepada Sabah ialah RM5.82 bilion setahun.

Namun Kerajaan Pusat hanya membayar kepada Sabah dan Sarawak masing-masing berjumlah RM120 juta setahun. Ini bererti selebihnya kira-kira RM5.7 bilion adalah Hak Sabah yang diambil oleh Kerajaan Pusat sebagai sebahagian daripada pendapatannya. Ini dicerminkan dalam Bajet 2018 di mana anggaran disemak untuk 2017 Pendapatan cukai dari Petroleum adalah kira-kira RM10.94 bilion.

Terdapat dua perkara yang dapat kita simpulkan dari sini.

Pertama, Jadual 10 Bahagian V item 1 masih dalam perlembagaan dan masih sah dan kuasanya masih milik Sabah dan Sarawak, hanya kepimpinan di Sabah dan Sarawak saja yang tidak cukup tegas untuk mendapatkan kembali hak mereka. Oleh itu, ini bererti Jadual 10 Bahagian V perkara 1 masih hak Sabah dan Sarawak, namun selepas tahun 1999, duti import dan duti eksais produk petroleum tidak pernah dibayar kepada Sabah dan Sarawak mengikut apa yang dipersetujui atau diganti dengan jumlah berpatutan berdasarkan semakan perjanjian. Ini melanggar Perjanjian Malaysia 1963 dan pelanggaran ini sengaja dibuat.

Kedua, berdasarkan Anggaran Bajet Tahunan Sabah kepala Anggaran 82104 dan sebagai Geran Penggantian Duti Import / Duti Eksais untuk petroleum diberikan peruntukan tetap sebanyak RM120 juta setahun tanpa sebarang kenaikan. Sejak tahun 2000 terdapat kenaikan bilangan kenderaan yang tinggi di Sabah, oleh itu terdapat peningkatan yang ketara dalam penggunaan bahan api. Ini bermakna peningkatan kenaikan pendapatan dari penggunaan bahan bakar di Sabah haruslah ditingkatkan. Tindakan Kerajaan Pusat didalam perkara ini adalah jelas satu kes penipuan oleh Kerajaan Pusat mengenai hasil kerajaan Sabah dan Sarawak.

Ketiga, nilai jumlah tetap yang diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat kepada Sabah dan Sarawak semakin berkurangan setiap tahun. Ini disebabkan pada tahun 1990 nilai ringgit telah ditetapkan pada RM3.80 berbanding satu Dolar Amerika Syarikat. Hari ini nilai ringgit telah menurun kepada RM4.40 berbanding satu Dolar Amerika Syarikat ini bermakna kejatuhan kira-kira RM0.60 sen atau nilai ringgit telah jatuh kira-kira 30%. Ini bermakna kuasa beli RM120 juta jumlah tetap yang diberikan oleh Kerajaan Pusat kini hanya bernilai lebih kurang RM84 juta.

TANGGUNGJAWAB MENTERI KEWANGAN

Dalam konteks ini, Kerajaan Sabah dan Sarawak ditipu dua kali oleh Kerajaan Pusat. Pertama, apabila terdapat peningkatan kenderaan dan penggunaan bahan bakar, oleh itu, kenaikan pendapatan dari import bahan api. Kali kedua, kesusutan nilai ringgit mengurangkan daya beli ringgit yang diterima.
Ini juga boleh ditafsirkan sebagai kegagalan tugas oleh Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kewangan.

Pertama, sudah terdapat pelanggaran Perjanjian Malaysia 1963 melalui pelaksanaan Jadual 10 Bahagian V perkara 1. Penyelesaian yang telah diberikan oleh Kerajaan Pusat adalah satu penipuan keatas Sabah dan Sarawak daripada mendapatkan nilai sepatutnya ganti hasil duti import dan duti eksais;

Kedua, terdapat pelanggaran Perjanjian Malaysia 1963 dan Jadual 10 Bahagian V perkara 1 apabila Kerajaan Pusat sengaja memansuhkan Duti import dan Duti Excise pada 23 Disember 1999 dengan meminda Akta Cukai Jualan Persekutuan 1972. Walaupun Kerajaan Pusat tahu Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa memungut Cukai Perkhidmatan dan Jualan – Jesteru itu, Sabah dan Sarawak juga berhak mengenakan cukai khusus sebagai ganti kepada duti import dan duti eksais yang hilang;

Ketiga, Kerajaan Pusat sengaja memberi peruntukan tetap untuk Sabah dan Sarawak sebagai menggantikan kehilangan pendapatan dari pemansuhan duti import dan duti eksais. Geran ini tidak mengambil kira peningkatan bilangan kenderaan, oleh itu, kenaikan penggunaan bahan api dan kenaikan cukai khusus ke atas import produk petroleum. Kerajaan Pusat juga tidak mengambil kira kuasa beli ringgit yang susut berbanding paras nilainya pada tahun 2000 telah jatuh sekurang-kurangnya RM0.60 sen.

Keempat, ini adalah jelas kegagalan tugas dari pihak Menteri Kewangan di Putrajaya, Kuching dan Kota Kinabalu.

Sebagai Menteri Kewangan di Sabah, Menteri mesti bertanggungjawab keatas kehilangan pendapatan ke Sabah atau Sarawak selama ini – Bagi Sabah, kerugian itu dianggarkan bernilai RM5.7 bilion setahun. Jumlah ini boleh ditukar kepada penjimatan kepada pengguna sebanyak RM0.40 sen bagi setiap ringgit yang digunakan membeli bahan api.

Setiap rakyat yang boleh menjimatkan belanja sebanyak RM56.00 seminggu atau RM2,912.00 setahun. Penjimatan ini adalah satu jumlah besar sekiranya rakyat dan rantaian perniagaan yang terjejas oleh perubahan harga minyak akan memberi kesan kepada ekonomi dengan ketara.

KEPUTUSAN DITANGAN NAJIB

Sebagai Perdana Menteri yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai, Najib Razak mesti bersedia untuk memulangkan apa yang jelas diambil oleh Kerajaan Pusat melalui parlimen. Sekiranya Najib Razak tidak setuju dengan saranan ini, penyelesaian pertikaian hanya boleh dilakukan di London kerana Perjanjian Malaysia 1963 ditandatangani di London dan ia merupakan perjanjian antarabangsa.

GS Sudang, merupakan salah seorang yang terlibat dengan pembentukan Malaysia dan orang yang bertanggungjawab mendirikan Batu Sumpah di Keningau, dipetik berkata:

“For the people of North Borneo, the party points out to the Malayan Government that the capacity for aspiration and for loyalty to one’s country is no monopoly of the Malayan. The people of North Borneo are equally capable of loyalty to their own country and our burning aspiration to remain as North Bornean and to control the destiny of this country cannot be and will not be terminated by political ambition of Kuala Lumpur.

“If the Malayan Government so persistently refuse to take warning, in later days, she will pay the heavy price for her disregard of Democratic principle. We will continue to recall with growing bitterness of the manner and circumstances through which our Rights to the Sovereignty of this country and our “Rights of Self-Determination have been deprived from us when they were almost within our reach. Such sentiment will certainly prevent the people of North Borneo from being reconcile to the idea of being Malaysian Citizen.”

GS Sundang sudah memberi amaran kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, sekiranya mereka terus tidak menghiraukan tuntutan Sabah, perhubungan diantara Sabah dengan Putrajaya akan menjadi parah. Besar kemungkinan Malaysia akan terburai.

Keputusan ditangan Najib, dia sendiri telah berjanji kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

BERITA BERKENAAN: –

Pelanggaran Pertama MA63 Ke Atas Minyak dan Gas Sabah dan S’wak