Pelanggan Restoran Sri Utara, Anjung Ketam Labuan Diarah Buat Saringan

LABUAN: Semua pelanggan dan pengunjung dua premis makanan – Restoran Sri Utara dan Anjung Ketam pada 18 dan 19 September lalu diarah menjalani ujian pengesahan COVID-19 dengan segera di Klinik Kesihatan Membedai.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata arahan itu dikeluarkan berikutan ada individu mengunjungi dua premis makanan itu yang masing-masing terletak di pusat bandar dan Tanjung Aru disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan baru-baru ini.

Dr Ismuni Bohari

“Masa yang dikenal pasti adalah antara jam 12 – 2 petang di Restoran Sri Utara dan antara jam 7.30 hingga 9 malam di Anjung Ketam.

“Pihak kami sudah mengeluarkan notis arahan kepada sesiapa yang mengunjungi premis makanan berkenaan untuk segera tampil menjalani ujian pengesahan COVID-19 di Klinik Kesihatan Membedai dengan segera,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Labuan telah mencatatkan dua kes baharu (kes terbaru pada Isnin) menjadikan jumlah keseluruhan kepada 27 kes setakat ini.

Sementara itu, Dr Ismuni mengesahkan tidak ada sekatan dikenakan kepada mana-mana individu dan syarikat pengangkutan untuk ke Labuan susulan kawalan lebih ketat di semua pintu masuk ke pulau bebas cukai disini.

“Kita tidak mahu ekonomi Labuan terbantut…oleh itu tidak ada sekatan dikenakan kepada syarikat pengangkutan untuk masuk ke sini.

“Kepada yang berulang-alik ke Labuan, Jabatan Kesihatan Labuan akan berikan kad pemeriksaan kesihatan kepada mereka… sudah semestinya mereka juga perlu jalani ujian COVID-19 setiba disini… tetapi tidak diwajibkan kuarantin di Labuan,” katanya.