Pelancongan Kembali ‘Bernyawa’ Dengan Sokongan Orang Tempatan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Selepas lebih empat bulan tidak dapat melakukan aktiviti luar susulan penularan jangkitan Covid-19, orang ramai menarik nafas lega apabila sektor pelancongan mula beroperasi semula.

Tinjauan Borneo Today di The Magellan Sutera Harbour Resort mendapati masyarakat tempatan mula menempah percutian di situ dan menikmati beberapa aktiviti riadah termasuk mandi di kolam renang yang telah beroperasi semula.

HERAWAN YAHYA

Herawan Yahya, 48, yang kelihatan leka memantau anak tunggalnya bermain kolam melahirkan rasa kesyukuran kerana kehidupan masyarakat kembali seperti sedia kala, biarpun dalam keadaan norma baharu.

Pesara tentera yang kini menetap di Kinarut ini berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, ini kali pertama beliau bersama keluarga bercuti di resort.

“Saya tengok keadaan masa datang kemarin pun macam baik. Pelancong tempatan ramai, tengok keadaan pun macam ada sambutan yang baik dari pelancong dalam negeri.

“Dari segi prosedur operasi standard (SOP) pun baik, semua ikut peraturan dengan baik.

“Kalau tengok keadaan cuaca juga cerah, amat sesuai untuk keluarga yang ingin melancong…memang digalakkan. Namun masing-masing kena jaga diri, jaga keluarga,” katanya ketika ditemui di kolam renang, The Magellan Sutera Harbour Resort, di sini hari ini.

Herawan yang bercuti selama dua hari di resort berkenaan berkata, sekarang adalah masa yang sesuai untuk orang tempatan melancong dalam negeri bagi membantu menyuburkan kembali industri pelancongan tempatan.

Katanya, penyediaan SOP dan pemantauan keselamatan di resort berkenaan juga amat memuaskan hingga tidak menyebabkan mereka ragu-ragu atau merasa takut dengan penularan jangkitan Covid-19.

“Jika dilihat yang datang sini semua pengunjung dari dalam negeri dan ada juga dari Semenanjung Malaysia yang bawa keluarga. Ada yang dari Tawau, sandakan, Kuala Penyu semua datang dengan keluarga. Mungkin mereka ambil kesempatan sebab keadaan kes (Covid-19) semakin berkurang,” jelasnya.

SHIRLENA

Turut berkongsi keyakinan untuk melancong dalam negeri adalah Shirlena MT Aidala, 41.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Tinusa, Sandakan ini berkata, kedatangan mereka ke Kota Kinabalu semata-mata ingin merasai pengalaman menginap di resort tersebut kerana sekarang ada promosi.

“Kemarin kami sempat merasa naik cruise dan menikmati pengalalaman walaupun singkat tapi seronok.

“Saya memang galakkan orang tempatan melancong. Kita tidak perlu takut kerana keadaan sekarang agak selamat dan kadar jangkitan juga semakin susut.

“Saya galakkan orang-orang tempatan untuk menyokong industri tempatan terutama industri pelancongan di Sabah,” ujarnya.

Katanya, mereka tujuh sekeluarga memandu sendiri untuk datang ke Kota Kinabalu kerana masih belum yakin untuk menaiki penerbangan.

Mengenai SOP pula, Shirlena melihat SOP di resort itu agak ketat dimana, pemeriksaan bermula di pintu masuk utama sehingga ke kolam renang. Jadi, itu membuatkan mereka sekeluarga merasa selamat untuk bercuti di resort berkenaan.

Sutera Harbourt Resort turut menawarkan promosi bilik penginapan sempena ulang tahun ke-20 mereka dan tempahan dibuka sehingga 31 Julai ini.

Promosi penginapan yang ditawarkan berharga RM290 untuk dua orang dewasa (Ahad-Khamis) dan RM 320 (Jumaat & Sabtu).

Pelanggan yang menginap di resort berkenaan turut menerima diskaun 20 peratus untuk makan di restoran Alfresco dan mempunyai akses percuma untuk menggunakan kemudahan gimnasium, boling dan snuker.