Pelancongan Eko Lingga Mampu Tarik Minat Pengembara Tempatan

KIULU: Berlatarbelakangkan kehijauan bukit-bukau, Pusat Pelancongan Eko Lingga (LET) dilihat mampu menarik minat pencari pengembaraan yang gemar menerokai laluan trekking luar bandar.

Terletak kira-kira 10 kilometer dari Pekan Kiulu dan di tepi sungai, pusat pelancongan berasaskan komuniti ini menawarkan aktiviti ekstrem dan rekreasi secara santai kepada para pengunjung.

Ditubuh sejak tahun 2018, pengerusi LET Kait Lansangan berkata mereka telah menerima kira-kira 4,000 pelawat, termasuk pelancong dari Kanada, United Kingdom dan Korea.

“Kebanyakkan mereka ini berminat untuk meneroka destinasi luar bandar. Melihat potensi destinasi pelancongan berasaskan komuniti, penduduk kampung bekerjasama membuat laluan trekking di Bukit Dapako. Laluan sejauh 7 kilometer ini menjadi popular di kalangan pengembara tempatan selepas dibuka.

“Ramai pelawat kami yang merekodkan pengalaman mereka dan mempromosikan laluan trekking Dapako Hill dalam sosial media. Kebanyakkan pelancong antarabangsa yang datang ke LET mengetahui tempat ini melalui YouTube,” kata Kait sambil menambah aktiviti pelancongan di Kampung Lingga telah memberi pendapatan kepada penduduk kampung.

Bagi menawarkan peminat pengembaraan dengan aktiviti ekstrem, pusat pelancongan berasaskan komuniti tersebut telah membuka laluan baru Ratu Trail sejauh 8.5 kilometer yang membolehkan pengunjung merasai pengalaman mendaki laluan curam.

Antara aktiviti lain yang terdapat di LET adalah abseiling, flying fox, berakit, berkhemah dan berenang.

Dalam usaha memperkasa penduduk kampung, Kait berkata LET juga telah menubuhkan unit kebajikan untuk menyumbang kembali kepada komuniti.

Melalui unit ini, LET mampu menghulurkan wang sedekah pada keluarga yang ditimpa kematian, membantu penduduk kampung membayar kos kemasukan hospital, dan memberi elaun kepada pelajar yang memasuki menara gading, antara lain.

“Walaupun pandemik Covid-19 telah menjejaskan pendapatan komuniti, kami tetap bersemangat untuk meneruskan aktiviti pelancongan di kampung ini. Diharapkan dengan pembukaan semula sempadan untuk pergerakan rentas negeri, lebih ramai pelawat dari luar Sabah yang akan datang ke pusat pelancongan kami.

“Di samping itu, kami juga berterima kasih kepada Lembaga Pelancongan Sabah dan Persatuan Pelancongan Kiulu kerana banyak membantu dalam membangunkan produk kami. Tanpa sokongan mereka, LET tidak akan berjaya,” ujar Kait.

Pada Jumaat, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Jonistan Bangkuai, melawat Kampung Lingga untuk melancarkan dewan serbaguna LET dan menyerahkan bantuan Sabah New Deal.

Dewan terbuka LET adalah antara 32 projek membina dan menaik taraf infrastruktur pelancongan luar bandar di bawah Perjanjian Baru Sabah untuk Kiulu, dengan jumlah bantuan kewangan keseluruhan sebanyak RM640,000.

Dalam lawatan beliau, Joniston memuji pengusaha LET atas inisiatif dan komitmen mereka untuk menjaga komuniti, sambil menambah pelancongan berasaskan komuniti Kampung Lingga boleh menjadi contoh kepada pengusaha pelancongan luar bandar yang lain.

“Limpahan ekonomi hasil pembukaan pusat pelancongan di kampung ini dapat dilihat di mana LET mampu membantu ramai keluarga. Inilah yang kita mahu lihat, iaitu orang kampung mendapat faedah.

“Sememangnya konsep pelancongan berasaskan komuniti ini dapat membantu meningkatkan semangat kesatuan dan kerjasama di kalangan penduduk kampung, meningkatkan ekonomi rakyat, dan meningkatkan kesedaran kebersihan alam sekitar.

“Di Lembaga Pelancongan Sabah, kita mahu melihat Sabah menjadi contoh bagi pelancongan luar bandar dan berasaskan komuniti. Negeri-negeri lain telah datang ke Sabah untuk melihat bagaimana kita beroperasi dan diharapkan pemain industri antarabangsa akan berbuat demikian juga pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Joniston turut mengumumkan kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM220,000 untuk menubuhkan Pusat Informasi Pelancongan Kiulu bagi memberi perincian kepada pengunjung mengenai tarikan pelancongan dan penginapan yang terdapat di sekitar Kiulu serta Tamparuli.