Pelancongan Dan Penerokaan Sumber Perlu Untuk Majukan Sandakan

Madius sedang meneliti cadangan pembangunan ekonomi semasa lawatan kerja beliau di Sandakan.turut serta Adun Elapura,YB Calvin Chong.

SANDAKAN: Kerajaan negeri komited membangunkan semula ekonomi di daerah Sandakan dengan meneroka dan menambah baik potensi, peluang dan sumber sedia ada di daerah ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, antara langkah itu termasuklah meningkatkan hubungan perdagangan antara Sandakan dengan negara jiran iaitu Filipina dan Indonesia khususnya dalam sektor perindustrian, pembuatan, pemprosesan dan pelancongan.

Menurutnya, langkah itu sekali gus berupaya menarik lebih ramai pelabur dan menjana peluang ekonomi yang lebih baik untuk daerah ini.

“Kita fikirkan apa lagi langkah-langkah yang boleh kita bantu pertingkatkan perdagangan di antara Sandakan dengan negara jiran Filipina, Indonesia dan yang berdekatan.

“Macam mana kita boleh pertingkatkan perdagangan supaya di sini ada ada kegiatan ekonomi dalam hal perindustrian, pembuatan, pemprosesan lepas itu kita mahu dia ada kaitan juga dengan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun ke kawasan perumahan di Jalan Singapura, berhampiran padang Bandaran Sandakan sempena lawatan kerja dua harinya di Sandakan.

Madius berkata, ketika ini ekonomi Sandakan dijana oleh sektor pelancongan yang terkenal iaitu pusat pemulihan orang utan Sepilok serta pulau-pulau peranginan dan pelancongan.

Justeru katanya, beberapa potensi dalam sektor perlancongan juga perlu diwujudkan untuk menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke daerah ini.

Dalam pada itu, Madius berkata, beliau terbuka untuk menerima cadangan dan idea daripada pelbagai pihak bagi bersama-sama membangunkan ekonomi Sandakan.

Mengulas tentang lawatannya ke Jalan Singapura, beliau berkata, kerajaan negeri bersama Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) akan mencari pendekatan bagi membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi penduduk perumahan di situ.

Ini kerana katanya, sebahagian besar daripada penduduk di kawasan perumahan itu adalah pemilik berdaftar premis tetapi mereka tidak memiliki geran persemdirian sebaliknya hanya memegang geran kongsi.

“Permasalahan itu tentunya akan menyukarkan pemilik berdaftar daripada segi pembayaran dan sebagainya sekiranya kawasan itu dibangunkan semula.

“Pada masa sama, struktur bangunan perumahan itu perlu dikaji semula sama ada selamat dihuni atau tidak selain aspek keselamatan yang kurang terjamin,” jelas beliau.