Pelancongan Berasaskan Komuniti Elak Migrasi Ke Bandar

KOTA KINABALU: Pelancongan berasaskan komuniti (CBT) akan membantu membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi mengelakkan penghijrahan penduduk desa ke bandar.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Noredah Othman, berkata, kawasan luar bandar mempunyai peluang ekonomi yang luas untuk dimanfaatkan oleh golongan muda.

“Salah satu objektif STB adalah untuk menggalakkan orang-orang muda bekerja dalam masyarakat dan mereka tidak seharusnya keluar daripada kampung untuk mencari pekerjaan.

“Pekerjaan ada di mana-mana, apa yang penting perlu rajin berusaha. Kawasan luar bandar kaya dengan sumber alam semula jadi dan persekitaran yang begitu menarik.

“Justeru, golongan muda boleh mencari pekerjaan dan peluang dalam program CBT,” katanya semasa sesi perkongsian anjuran Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat, Universiti Malaysia Sabah kelmarin.

Perbincangan itu memfokuskan kepada peluang komuniti luar bandar dalam industri eko-pelancongan. Ia dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat, Dr Elia Godoong.

Menerusi sesi perkongsian berkenaan, mereka turut membincangkan tentang penghijrahan golongan muda dari luar bandar ke bandar dengan meninggalkan golongan tua untuk menguruskan kehidupan di kampung.

Noredah berkata, golongan belia harus mengekalkan warisan dan terus menetap di kampung bagi membantu mempromosikan perkampungan mereka sebagai destinasi pelancongan yang harus dikunjungi.

“Kawasan luar bandar adalah destinasi pelancongan yang menarik dan eko-pelancongan sering dikaitkan dengan alam semula jadi dan komuniti.

“Maka, CBT adalah penting kerana ia menggalakkan orang-orang muda untuk terus memulihara dan memelihara alam sekitar serta menghargai kampung mereka,” katanya.

Tambahnya, pihak STB sentiasa bersedia untuk membantu masyarakat luar bandar yang berhasrat untuk menceburi bidang CBT dengan menyediakan sokongan, latihan dan dana yang diperlukan.

Jelas beliau, pihak lembaga turut bekerjasama dengan persatuan pelancongan daerah untuk membangunkan CBT, sambil menambah 26 daerah di Sabah telah menubuhkan jawatankuasa pelancongan untuk membantu melestarikan aktiviti pelancongan di kawasan masing-masing.

Noredah berkata, pihak STB terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana universiti bagi inisiatif penyelidikan khususnya pelancongan luar bandar.

“Baru-baru ini, kami menyediakan geran untuk mereka yang ingin dan berminat menjalankan penyelidikan untuk pihak lembaga.

“Kerjasama sedemikian penting kerana ia membolehkan pihak kami menggunakan data mereka untuk melakukan perancangan strategik,” ujarnya.