Pelancong Korea Hilang Di Laut Ditemukan Lemas

Pasukan penyelamat menenangkan seorang pelancong Korea yang sedih selepas melihat mayat rakannya yang lemas.

KOTA KINABALU: Mayat seorang pelancong Korea yang hilang di pesisir pantai Karambunai sejak Jumaat lalu ditemukan pagi ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dalam satu kenyataan berkata, mayat mangsa, Kyeong Young An, 18, ditemukan penduduk kampung yang turut membantu operasi mencari dan menyelamat sejak dua hari lalu.

Kyeong Young An

“Mayat mangsa ditemukan pada pukul 7.06 pagi oleh penduduk kampung di kawasan pantai itu.

“Pasukan bomba telah pergi ke lokasi tersebut dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata jabatan itu.

Jumaat lalu, pusat gerakan operasi bomba Sabah menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.17 petang mengenai kehilangan seorang pelancong warganegara Korea ketika sedang bermandi-manda di kawasan pantai berkenaan.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan oleh 17 anggota bomba dengan menggunakan beberapa aset termasuk bot.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang mandi di tepi pantai bersama rakan-rakannya, namun hanyut ke tengah laut sebelum hilang.