Pelancong Dilarang Melawat Masjid Bandaraya Dengan Serta Merta

9709

Oleh HAJI JAMAL TUN HAJI SAKARAN
KENYATAAN: (24 Jun 2018 | 10 Syawal 1439H) Pihak Pengurusan Tertinggi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (MBR) mengambil keputusan untuk melarang sementara waktu kepada semua pelancong untuk datang melawat masjid berkenaan serta merta.

Ini ekoran daripada video yang tular di media sosial berkenaan tindakan pelancong asing yang mempamerkan perilaku tidak senonoh di atas pagar Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (MBR), pihak Pengurusan Tertinggi MBR menzahirkan rasa sangat kesal dengan tindakan segelintir pelancong tersebut meskipun sudah diberikan penerangan perilaku dan tertib di sekitar masjid.

Setiap hari dianggarkan sebanyak 500 hingga 1000 orang pelancong datang melawat MBR. Pada dasarnya, pihak Pengurusan Tertinggi MBR telah melaksanakan pelbagai usaha menyampaikan mesej keindahan Islam dan masjid kepada pelancong yang berkunjung namun masih ada pelancong yang bertindak di luar jangkaan.

Usaha ini termasuklah inisiatif pihak MBR menyediakan pemandu pelancong (tourist guide), jubah, baju kurung, tudung, kopiah dan sebagainya. Bukan itu sahaja, MBR juga telah menyediakan Pusat Pelancongan (Tourist Center) bagi memudahkan penyaluran maklumat serta menyemarakkan aktiviti dakwah.

Berikutan daripada kejadian itu juga, pihak MBR memutuskan dengan serta merta bahawa semua Bas Ekspres, “Grab Cars” serta Teksi TIDAK DIBENARKAN membawa pelancong masuk ke kawasan dan sekitar masjid (melainkan teksi yang sudah berdaftar dengan MBR). Larangan ini termasuklah tidak membenarkan Bas Ekspres, “Grab Cars” serta Teksi meletakkan kenderaan (parkir) di luar masjid seperti yang biasa diamalkan sebelum ini.

Pihak Pengurusan Tertinggi MBR juga mengambil keputusan menambah anggota RELA yang akan ditempatkan di luar pagar masjid sebagai usaha memantau dan mengelakkan insiden yang sama berulang lagi.

Justeru, bagi menjaga imej dan kesucian agama Islam dan masjid di samping meneruskan kelestarian industri pelancongan di Sabah, pihak MBR akan mengadakan perbincangan lanjut bersama agensi berkaitan pelancongan bagi mencari solusi terbaik yang akan memberi manfaat kepada semua pihak. Idea bernas, cadangan dan pandangan pihak berkaitan juga diperlukan dari semasa ke semasa untuk memantapkan dakwah Islamiah dan sektor pelancongan.

Pihak MBR merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang prihatin dan peka berkenaan klip video yang tular itu. Pihak MBR juga menghormati pandangan dan komen saudara saudari.

Terima kasih.

• Haji Jamal Tun Haji Sakaran ialah Pengerusi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu