Pelancong Asing Di Lapangan Terbang Tawau Lari Dari Pegawai Kesihatan

Pelancong asing yang dikenakan kompaun atas kesalahan merokok di LTT.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Sekumpulan pelancong asing dipercayai dari China bertindak mematikan rokok dan melarikan diri selepas melihat kelibat pegawai Jabatan Kesihatan Daerah Tawau, di Lapangan Terbang Tawau (LTT), di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, empat lelaki berkenaan dilihat sedang leka merokok di kawasan parkir LTT dipercayai sedang menunggu jadual penerbangan seterusnya.

Bagaimanapun, mereka kelihatan terburu-buru membuang rokok sebelum bertindak melarikan diri sebaik tiga pegawai Jabatan Kesihatan Tawau dan polis menghampiri mereka.

AB JAL MAMBAKAR

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Kesihatan Daerah Tawau, Ab Jal Mambakar berkata, itu adalah sebahagian gelagat perokok tegar di LTT yang bertindak berani membelakangkan perundangan larangan merokok di kawasan lapangan terbang.

“Sebanyak 13 notis kesalahan merokok dikeluarkan bernilai RM3,250 dalam operasi bersepadu yang turut membabitkan pihak pengurusan Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB) dan pasukan keselamatan LTT.

“Daripada jumlah itu, lima pesalah warga tempatan manakala selebihnya pelancong asing,” katanya kepada media, hari ini.

Tambahnya, ia operasi bersepadu yang pertama membabitkan kerjasama dengan pengurusan LTT dalam usaha memastikan kawasan lapangan terbang bebas rokok.

“Semua pelancong asing yang dikenakan kompaun itu dikehendaki membayarnya sebanyak RM250 seorang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memandangkan tiada tempat pembayaran denda dibuka di LTT,” katanya.

Sebagai rekod sebanyak 250 notis kesalahan merokok di LTT dikeluarkan sepanjang tahun lalu membabitkan 137 pesalah tempatan manakala selebihnya pelancong asing.

Bagi tahun ini sehingga semalam, sebanyak 51 notis kesalahan dikeluarkan bagi kesalahan yang sama di LTT termasuk membabitkan 24 pelancong asing.

HASBI MOHD SAID

Sementara itu, Pengurus LTT Hasbi Mohd Said berkata, pihaknya akan menambah lebih banyak papan tanda larangan merokok di kawasan lapangan terbang termasuk parkir dan bawah pokok dalam tempoh terdekat.

“Papan tanda dalam bangunan adalah mencukupi selain pengumuman menerusi pembesar suara berkaitan larangan merokok di LTT dibuat secara berkala dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, seluruh kawasan lapangan terbang di sini diwartakan sebagai tempat larangan merokok menyebabkan tindakan perundangan diambil ke atas mereka yang ingkar,” katanya.

Dalam masa sama pihaknya bersama Jabatan Kesihatan daerah turut dalam perancangan memasang papan tanda bersaiz besar di jalan masuk ke LTT sebagai peringatan awal kepada orang ramai.