Pelancaran Kempen PEMANTAU PRU14 Sabah; Lapor Salahlaku, Penipuan

1010
Beverly Joeman, tengah, dengan rakan PEMANTAU disidang media Isnin.

Oleh SEKRETARIAT BERSIH 2.0 (SABAH)
KENYATAAN: Berikutan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) pada 11 April yang lepas, Bersih Sabah akan melancarkan kempen PEMANTAU untuk Pilihan Raya Umum ke14(PRU14) yang bakal berlangsung pada 9 Mei 2018.

Bersih Sabah bersama-sama My Move, Hijau 2.0, Sekretariat Anak Muda Sabah dan beberapa lagi NGO lain akan memantau perjalanan pilihan raya di negeri Sabah. PEMANTAU ialah suatu inisiatif rakyat untuk mencegah penipuan dan kesalahan pada PRU14.

PEMANTAU akan memerhatikan kelakuan SPR, parti politik, dan calon-calon sepanjang tempoh pilihan raya. Sebarang salahlaku atau penipuan akan dilaporkan dan tindakan mahkamah akan diambil jika perlu.

Pasukan PEMANTAU akan fokus kepada 10 perkara ini:

(1) Rasuah dan beli undi;
(2) Penjamuan makanan dan pemberian hadiah;
(3) Pemberian dan pengaruh tidak wajar oleh kerajaan;
(4) Penggunaan aset kerajaan;
(5) Perbelanjaan berlebihan;
(6) Intimidasi, keganasan, dan gangguan;
(7) Kelakuan berat sebelah oleh pegawai-pegawai;
(8) Undi awal dan undi pos;
(9) Masalah daftar pemilih dan pengundi hantu; dan
(10) Masalah pada hari mengundi.

Bersih Sabah juga ingin mengingatkan kepada semua parti politik terutamanya parti daripada Barisan Nasional yang menerajui kerajaan sebelum ini agar mematuhi prinsip demokrasi sebuah kerajaan sementara sehinggalah parti baru yang akan menerajui kerajaan negeri mahupun persekutuan dipilih selepas hari pembuangan undi pada 9 Mei 2018 ini.

Secara dasarnya apabila Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dibubarkan, maka tiada lagi badan perundangan yang akan memeriksa kuasa eksekutif. Kerajaan tidak lagi mempunyai mandat daripada badan perundangan dan mesti bertindak dengan sewajarnya.

Ia akan wujud semata-mata untuk pentadbiran kerajaan yang minimum.

Bersih Sabah menggesa agar parti politik menurut etika kerajaan sementara sebagaimana yang termeterai dalam Australian Capital Territory 2012 General Election on Guidance on Caretaker Conventions dan London Cabinet Office on General Election Guidance 2010 .

Dari tarikh pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri sehingga kerajaan yang baru dipilih mengambil alih, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri hendaklah menjadi kerajaan sementara dan tidak boleh:

(a) membuat keputusan-keputusan dasar dan utama yang berkemungkinan besar akan mengikat kerajaan yang akan dipilih;

(b) membuat perlantikan-perlantikan penting;

(c) menandatangani kontrak atau perjanjian besar dan utama (major contracts or undertakings);

(d) mengumumkan sebarang geran kewangan baru dalam apa jua bentuk sekalipun atau apa-apa janji yang berkaitan dengannya;

(e) meletakkan batu asas dan lain-lain, projek atau skim dalam apa jua bentuk; atau

(f) membuat apa-apa janji baru bagi membina infrastruktur atau melaksanakan projek-projek awam.

Memandangkan mana-mana parti politik mungkin akan membina kerajaan baru dalam Parlimen yang akan datang, kerajaan sementara seharusnya tidak membuat keputusan dasar atau persetujuan baru yang akan mengikat kerajaan akan datang.

Lebih penting lagi, seharusnya kerajaan sementara tidak menggunakan jentera dan aset kerajaan atau mengumumkan projek-projek untuk kepentingan politik masingmasing.

Malangnya, pilihan raya di Malaysia sebelum ini telah pun dicemarkan dengan penyalahgunaan aset kerajaan untuk kegunaan parti mereka, seterusnya mewujudkan padang perlawanan yang tidak sama rata antara penyandang jawatan dan calon-calon lain.

Di negeri Sabah, sudah terdapat salah guna jentera kerajaan bagi tujuan berkempen oleh Barisan Nasional. Bersih Sabah telah mendapat beberapa laporan yang merangkumi dua kesalahan dalam pilihan raya iaitu pemberian dan pengaruh tidak wajar oleh kerajaan serta penggunaan jentera kerajaan. Untuk rekod, sebanyak 10 kesalahan pilihan raya telah dilakukan:

Ini termasuk pemberian dan pengaruh tidak wajar dari kerajaan (tujuh kesalahan) dan penggunaan aset dan jentera kerajaan (2). Ini semua dilakukan oleh BN.

Pada Januari 2018, Perdana Menteri Najib Razak menyatakan bahawa Barisan Nasional (BN) komited dalam memastikan pilihan raya dilaksanakan secara bersih dan adil. Manifesto BN juga ada menyatakan “komitmen untuk membentuk pembangunan partisipasi demokratik”.

Demikian juga dengan manifesto Pakatan Harapan yang menjanjikan “pilihan raya yang bersih, adil dan telus”. Parti-parti pembangkang yang lain juga ada menjanjikan supaya pilihan raya yang bersih dan adil akan dilaksanakan sekiranya memegang tampuk kekuasaan.

Sehubungan itu Bersih Sabah menggesa agar parti-parti politik berpegang kepada janji dan tidak menyalahgunakan wang rakyat demi kemenangan di dalam politik. Penutup Rakyat Sabah perlu memastikan akauntabiliti ahli politik dalam menggunakan dana kerajaan.

Kami juga mengajak semua rakyat Sabah untuk turut bersama-sama memantau perjalanan pilihan raya kali ini demi memastikan proses pilihan raya serta kempen-kempen yang dijalankan mengikut undang-undang dan perlembagaan.

Sekiranya orang ramai ada mendapati kesalahan pilihan raya, pelanggaran hak asasi atau kempen perkauman yang melampau, aduan boleh dibuat melalui:

Laman web : aduan.pemantau.org
Telefon dan whatsapp : 0145724007
E-mel : aduan@pemantau.org

Mereka yang berminat untuk menyertai pasukan sukarelawan PEMANTAU juga boleh mendaftarkan diri di www.pemantau.org/daftar.

Kami juga menyeru agar semua pengundi agar turun mengundi pada hari pengundian dan undi untuk menentang ahli politik korup yang menggunakan duit rakyat untuk kepentingan politik mereka. Keluar mengundi dan kalahkan penipuan!

Dikeluarkan oleh: Sekretariat Bersih 2.0 (Sabah) My Move Hijau 2.0