Pelan Pembangunan Sukan Dilancar Lahir Atlet Sabah Ke Olimpik

150

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KENINGAU: Kerajaan Sabah melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Sukan 2020-2030 dalam usaha melahirkan atlet yang mampu mewakili negeri ini dan Malaysia sehingga ke Sukan Olimpik, pada masa akan datang.

Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe berkata, sudah hampir 10 tahun atlet Sabah tidak berada di pentas Olimpik.

Beliau berkata, sudah tiba masanya bakat atlet Sabah digilap agar mampu mewakili negeri ini ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Dahulu Sabah terkenal sebagai ‘sport power house’ atau kuasa besar dalam arena sukan negara.

“Namun, sudah hampir 10 tahun tiada atlet Sabah yang berjaya mewakili negara di arena Sukan Olimpik.

“Oleh itu, saya berharap dengan pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Sukan 2020-2030, Sabah mampu mengembalikan zaman kegemilangan untuk menjadi sport power house di Malaysia,” katanya semasa berucap sempena Majlis Perasmian Sukan Sabah Kesembilan (SAGA IX) 2019, di Kompleks Sukan Keningau, di sini pada malam Sabtu.

Majlis perasmian itu disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.

Phoong berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya termasuk memberikan imbuhan atau ganjaran berlandaskan prestasi kepada persatuan sukan negeri atau atlet-atlet yang cemerlang di semua peringkat.

Beliau berkata, SAGA merupakan usaha kerajaan untuk mengetengahkan bakat-bakat yang ada dalam kalangan atlet peringkat akar umbi.

Katanya, atlet yang berpotensi akan digilap untuk meneruskan cabaran pada peringkat yang lebih tinggi, khususnya Sukan Malaysia (Sukma).

“Atlet muda yang ada di sini adalah penggiat dan ahli sukan yang menjadi tonggak utama dalam memacu kemajuan sukan di negeri ini.

“Justeru, saya menyeru kepada anak-anak muda ini supaya menggandakan usaha serta menggunakan sepenuhnya kemudahan-kemudahan sukan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh negeri bagi meningkatkan prestasi masing-masing,” ujarnya.

Tambahnya, SAGA merupakan perhimpunan yang amat bermakna bagi atlet-atlet dan komuniti Sabah untuk membina masyarakat yang lebih sihat dan harmoni.

Phoong berkata, sukan juga merupakan landasan untuk menyatupadukan rakyat pelbagai bangsa dan agama.

“Melalui acara sukan, kita mampu menghapuskan tembok politik perkauman, berdiri bersama-sama memberi sokongan dan sorakan gemuruh kepada para atlet, tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama serta merapatkan lagi hubungan rakyat,” katanya.

SAGA IX kali ini menyaksikan penyertaan 4,511 atlet dari 27 daerah termasuk daerah Kalabakan yang baru diisytiharkan sebagai daerah penuh pada Januari lalu.

Sukan yang berlangsung dari 7 hingga 13 Disember ini memperlihatkan 21 acara sukan dipertandingkan di empat daerah berasingan iaitu Keningau, Tenom, Tambunan dan Nabawan.