Pelan Pembangunan Sektor Pelancongan Amat Perlu

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Pelan pembangunan untuk membolehkan sektor pelancongan yang terjejas teruk perlu disediakan dengan tumpuan terhadap pelancongan domestik.

Saranan itu dibuat Persatuan Pelancongan Sandakan yang mahu kerajaan menghidupkan semula industri pelancongan untuk mengelak kejatuhan lebih teruk sektor itu ketika wabak global Covid-19 masih berleluasa.

Presiden Persatuan Pelancongan Sandakan, Teo Chee Kim berkata, kunci pemulihan sektor pelancongan ketika ini adalah pelancongan domestik dan perlu dikembangkan tanpa menjejaskan kesihatan serta keselamatan penduduk setempat.

“Tiada guna bercakap mengenai pelancongan domestik jika rakyat Malaysia dari Semenanjung tidak dibenarkan memasuki Sabah atau orang yang masuk dari luar Daerah Sandakan perlu menjalani kuarantin 14 hari apabila tiba di sini. 

“Kerajaan perlu mewujudkan ‘jambatan’ antara Semenanjung dan Sabah agar orang boleh melakukan perjalanan bebas antara negeri tanpa menjejaskan usaha memerangi wabak,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Chee Kim berkata, industri pelancongan adalah sektor yang paling teruk dilanda krisis sejak akhir Januari lalu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, banyak kedai cenderamata, kafe, restoran dan hotel ditutup di daerah ini kesan daripada wabak.

“Untuk industri yang menyumbang berbilion pendapatan setiap tahun dan menyediakan berjuta pekerjaan, saya rasa industri ini memerlukan campur tangan segera kerajaan segera untuk memastikannya terus hidup.

“Dengan hampir semua negara di dunia menutup sempadan mereka buat masa ini, pelancongan domestik adalah kunci mengatasi kejatuhan dalam tempoh satu hingga dua tahun sebelum perjalanan antarabangsa disambung semula,” katanya.

Teo turut menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan untuk memberikan baucar perjalanan kepada semua ‘front liner’ sebagai tanda penghargaan, sekali gus mendorong pemulihan industri pelancongan. 

Katanya, kempen Cuti-Cuti Malaysia perlu diberi tumpuan semula dengan menarik rakyat negara ini untuk menjelajah dalam negara.