Pelan Pembangunan Labuan Dibentang Kepada PM, Dapat Reaksi Positif

252

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
LABUAN: Pelan pembangunan jangka panjang Labuan yang dirangka untuk membangunkan ekonomi di pulau bebas cukai itu secara mapan telah dibentangkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, Perdana Menteri telah memberikan reaksi positif terhadap pelan tersebut yang akan dilaksana oleh Yayasan Pembangunan Labuan (YPL), iaitu agensi yang diasaskan oleh Dr. Mahathir sendiri.

“Pertemuan dengan Tun Dr Mahathir adalah susulan kepada pertemuan pertama saya dengannya lima bulan yang lalu dan apabila saya membentangkannya secara ringkas mengenai rancangan pembangunan YPL Labuan semalam, beliau sangat positif dan saya menjangkakan hasil positif dari beliau demi kepentingan masa depan Labuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan bot pengangkutan bernilai RM300 Labuan-Menumbok-Labuan di Terminal Feri Labuan Antarabangsa di sini hari ini.

Sebagai pulau yang menjadi pusat pengeluaran dan pemprosesan minyak serta gas, Labuan suatu ketika dulu pesat membangun dan sentiasa menerima kemasukkan pengunjung termasuk ahli perniagaan.

Kepesatan ekonomi di situ membolehkan Labuan menjadi antara kawasan yang paling banyak menyumbang kepada kekayaan negara.

Bagaimanapun, kejatuhan harga minyak dan gas sejak lebih lima tahun lalu memberi kesan kepada Labuan menyebabkan pembangunan ekonominya tidak memberangsangkan.

Menurut statistik, kesan kelembapan ekonomi itu menyebabkan lebih 20,000 penduduk Labuan meninggalkan pulau itu bagi mencari peluang pekerjaan di negeri lain.

Rozman berkata, Dr. Mahathir sendiri bertanyakan tentang potensi pelaburan yang boleh dibawa masuk ke Labuan, saiz tanah dan kedalaman laut yang terlibat untuk pembangunan jangka panjang berkenaan.

Katanya, turut diterangkan kepada Perdana Menteri ialah isu-isu tanah antara lain (seperti yang disenaraikan dalam pelan pembangunan ekonomi YPL Labuan) termasuk keperluan mendesak jambatan yang amat diharapkan warga Labuan.

“Kita memerlukan jambatan kerana ia akan menjadi pemboleh ubah kepada landskap ekonomi Labuan, bakal memberikan perubahan ekonomi untuk kedua-dua kawasan di Labuan dan Sabah,” katanya.

Rozman berkata, Perdana Menteri juga diberi taklimat tentang perlunya YPL diperkuatkan dalam pelbagai aspek bagi membolehkannya memainkan peranan yang lebih besar dalam agenda pembangunan ekonomi Labuan.

“Pelan pembangunan lain yang mana YPL harus laksanakan adalah dalam bidang penambakan dan pemerolehan tanah untuk projek pembangunan Labuan.

“Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir sangat prihatin terhadap faktor persekitaran dengan pembangunan yang sedang berlaku, dan sudah tentu sejak Labuan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, Perdana Menteri mahu Labuan ditukar menjadi pulau dalam taman,” katanya.

Rozman yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan berkata jemputan rasmi juga diberikan kepada Perdana Menteri untuk melawat Labuan.