Pelan Induk Perkayuan serta Minyak & Gas Akan Dibentuk

91

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Seiring dengan matlamat untuk menjadi negeri berasaskan perindustrian, Kerajaan Sabah akan menyediakan Pelan Induk Industri Perkayuan Sabah dan Pelan Induk Industri Minyak dan Gas Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, pengwujudan pelan induk itu antara perancangan yang dilakukan bagi memperkasa sektor perkayuan serta minyak dan gas di Sabah.

Beliau berkata, pelan induk itu akan membolehkan sektor perkayuan di Sabah mempunyai panduan dan hala tuju bagi pembangunan industri perkayuan daripada huluan sehingga kepada aktiviti hiliran.

Dalam masa yang sama, kerajaan juga akan menggubal dasar perindustrian baharu dengan mengambil kira perancangan pembangunan di Kalimantan, Indonesia dan pembangunan hab-logistik perkapalan Selat Lombok Makasar.

Atas sebab itu, menerusi Belanjawan Sabah 2020, sejumlah RM146.79 juta diperuntukkan bagi sektor perindustrian dan perdagangan di negeri ini.

Daripada jumlah itu, sejumlah RM36.47 juta diperuntukkan kepada Kementerian Perdagangan dan Perindustrian serta jabatan dan agensi dibawahnya untuk pelaksanaan pelbagai program.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan kepada pembangunan sektor perindustrian. Usaha ini bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Sabah bagi mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi.

Dengan itu, kerajaan menyasarkan pertumbuhan sektor perindustrian pada kadar purata 17 peratus setahun dengan unjuran sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 35 peratus menjelang 2030.

Untuk mencapai sasaran itu, beberapa inisiatif baharu telah dan akan diperkenalkan termasuk menaiktaraf kemudahan infrastruktur, utiliti, ameniti sosial, logistik dan pelabuhan.

Mengenai langkah pembekuan lesen pembalakan dan pengharaman eksport kayu balak, sejak pengharaman eksport itu berkuatkuasa pada 23 Mei 2018, ia membolehkan industri perkayuan di Sabah mempunyai bahan mentah yang mencukupi. Ini sekaligus membawa kepada peningkatan pengambilan pekerja tempatan sehingga 15 peratus di beberapa kilang.