Pelan Induk Infrastruktur Sabah Fokus Tiga Sektor Utama – Yusof

YUSOF YACOB

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan merangka pelan induk pembangunan infrastruktur digital dengan memberi fokus kepada tiga sektor utama merangkumi perindustrian, pelancongan serta pendidikan, kata Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri Datuk Dr Yusof Yacob.

Beliau berkata Sabah pada masa sekarang masih belum mempunyai pelan induk pembangunan digital sehingga menyebabkan ketersambungan digital di negeri ini begitu terhad selain tidak ada hala tuju jelas.

“Pelan itu amat penting dalam usaha membangunkan infrastruktur digital di Sabah bagi membolehkan negeri ini mempunyai ketersambungan digital lebih baik.

“Usaha ini juga akan dapat memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam pembangunan mahupun pertumbuhan ekonomi dunia,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jalinan Mesra Hari Raya Warga Pendidikan Sabah di sini, hari ini.

Yusof berkata kementeriannya juga sedang merangka pelan induk pembangunan sumber manusia bagi melihat keperluan sumber tenaga di Sabah termasuk dalam sektor perkhidmatan awam dan industri memandangkan pelan seumpama itu belum pernah dilaksanakan secara menyeluruh di negeri ini.

“Kita kena merancang (pelan induk itu merangkumi) peringkat institusi pengajian tinggi kerana kita mahu melatih rakyat Sabah ke arah keperluan sumber manusia,” katanya.

Mengenai majlis, Yusof berkata, program yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan Sabah Mistirine Radin itu adalah platform memperkukuhkan lagi kerjasama dan persefahaman antara warga pendidikan di Sabah dalam mencapai matlamat melahirkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.