Pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Akan Dipercepat

KOTA KINABALU: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi jaminan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di  negeri ini akan diperincikan agar proses pembinaannya dapat dipercepatkan.

Timbalan Ketua Menteri I ini berkata, perincian itu perlu susulan perkembangan pelaksanaan projek itu baru mencecah sekitar 20 peratus.

Jika dibandingkan dengan Sarawak yang sudah mencapai 50 peratus siap, Sabah agak jauh ketinggalan. Keadaan ini dilihat tidak masuk akal kerana kedua-dua negeri bergerak melaksanakan projek tersebut bersama-sama.

Atas sebab itu, beliau akan memperincikan projek tersebut secara spesifik agar pelaksanaan projek itu boleh dilaksanakan dengan lebih pantas.

Ini bagi memastikan rakyat Sabah dapat menikmati kemudahan jalan raya yang baik seperti negeri-negeri yang lain.

Beliau berkata demikian kepada media selepas masuk secara rasmi ke pejabatnya di Kementerian Kerja Raya bagi memulakan tugas rasminya di sini, hari ini.

Mengenai proses pembinaan Empangan Papar, beliau mahu mendengar taklimat lanjut daripada Jabatan Air Negeri Sabah terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.