Pelaksanaan PPSMI Perlu Ambil Kira Fasiliti Sekolah Luar Bandar Di Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kemudahan infrastruktur dan tenaga pengajar yang berkebolehan mengajar adalah antara dua perkara yang perlu diselesaikan sebelum pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dilaksanakan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, biarpun beliau menyokong keputusan untuk melaksana Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) namun, masih terdapat beberapa aspek yang perlu diambil kira.

Beliau berkata, sekolah-sekolah di kawasan luar bandar di Sabah masih jauh ketinggalan dan tiada kemudahan yang baik.

“Tiada ertinya kita melaksanakan PPSMI tetapi, kita tidak mempunyai infrastruktur dan fasiliti serta guru yang boleh mengajar dalam Bahasa Inggeris.

“Keutamaan sekarang ini adalah menyelesaikan perkara sebegitu. Kita kena bincang mengenai masalah ini sebelum melaksana PPSMI.

“Kita juga mahu ibu bapa dan pelajar faham tentang keperluan dunia pada masa sekarang di mana, Bahasa Inggeris begitu penting.

“Semua teknologi kini dalam Bahasa Inggeris kerana ia adalah bahasa dunia, jika mahu setaraf dengan negara lain maka, penggunaan bahasa ini amat perlu,” katanya ketika mengulas mengenai pelaksanaan PPSMI yang diumumkan Perdana Menteri merangkap Pemangku Menteri Pelajaran, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Putatan, di sini hari ini.

Yusof berkata, pemansuhan PPSMI sebelum ini merupakan satu kesilapan kerana ia mewujudkan jurang dan memperlihatkan kerajaan tidak serius melaksana PPSMI.

Katanya, keadaan ini perlu diperbaiki dan PPSMI boleh dilaksana semula dengan syarat beberapa faktor yang dinyatakan tadi harus diambil kira.

Menurutnya, masalah sekolah daif di luar bandar perlu diselesaikan terlebih dahulu dan jika mahu memperbaiki Bahasa Inggeris pelajar di luar bandar, kemudahan internet dan komputer untuk kegunaan pelajar juga perlu dipertingkatkan.

Semalam, Dr. Mahathir mengumumkan pelaksanaan semula PPSMI dalam sistem pendidikan di negara ini.

Katanya, subjek Sains dan Matematik berbeza dengan mata pelajaran lain seperti Sejarah dan Geografi kerana ia bukan ilmu yang diolah dari negara ini.

Beliau berkata, kedua-dua subjek itu datang dari luar dan kebanyakkan datang ke negara ini melalui mediuam Bahasa Inggeris.

Atas sebab itu, Bahasa Inggeris perlu digunakan dalam pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik.