Pelaksanaan ‘Barter Trade’ Bendung Masalah Penyeludupan Haram

1598

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KIULU: Perdagangan Tukar Barang atau ‘Barter Trade’ yang akan dihidupkan semula pada Mac ini dilihat sebagai langkah yang boleh membendung masalah penyeludupan barangan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, dengan sistem kawalan yang baik, usaha menghidupkan semula barter trade ini akan dapat menangani masalah penjualan barangan secara haram.

Pelaksanaan sistem perdagangan ini juga akan memberi ruang penjualan dan perdagangan antara wilayah di rantau ini.

“Mungkin rakyat Filipina akan kurang melakukan aktiviti penculikan sebab banyak perniagaan. Manusia kalau ada duit jarang terlibat dalam melakukan perkara tidak baik,” katanya ketika ditanya mengenai desakan masyarakat peniaga supaya pelaksanaan barter trade dipercepatkan.

Mohd Shafie berkata, kerajaan akan melihat struktur yang ada supaya sistem yang lebih baik dan rapi akan digunapakai dalam pelaksanaan barter trade ini.

Katanya, tahun lalu beliau sudah berbincang mengenai perincian yang perlu diambil kira supaya pelaksanaan semula barter trade ini dikawal dengan baik agar tidak berlaku penyeludupan barangan bersubsidi.
“Kita tidak mahu orang luar menikmati barangan yang disubsidikan kerajaan seperti beras dan gula. Jika ada pengangkutan barang dari Vietnam untuk dijual ke tempat lain, itu perkara lain.

“Bagi kita, barangan yang diberikan subsidi oleh kerajaan termasuk minyak dan diesel tidak boleh dijual kepada orang luar. Dengan menjalankan barter trade, penjualan barangan secara haram juga dapat dipantau dengan baik,” ujarnya.

Mohd Shafie berkata, barter trade adalah langkah kerjasama antara Sabah dengan Filipina dan Indonesia untuk menyuburkan ekonomi negara serantau. Pendekatan yang diambil sejak dahulu ini banyak membantu dalam perkembangan ekonomi di kawasan Pantai Timur seperti Sandakan, Tawau dan Kudat.

“Jika dilihat dari segi sejarah, barter trade ini juga lebih banyak menguntungkan Sabah kerana negara jiran lebih banyak membeli barangan kita berbanding barangan yang kita beli dari negara jiran,” ujarnya.

Pada 9 Oktober tahun lalu, Mohd Shafie mengumumkan keputusan Kerajaan Negeri untuk menghidupkan semula barter trade bermula 1 Januari. Bagaimanapun, pelaksanaan itu ditunda sehingga Mac ini.

Pada Ahad (6 Januari) Dewan Perniagaan Cina Sandakan bersama Persatuan Pengimport, Pengeksport, Penghantar serta Persatuan Permohonan Penghantaran merayu kepada kerajaan supaya mempercepatkan pelaksanaan semula barter trade yang kini terpaksa ditunda kepada Mac.

Ketika pertemuan bersama Adun Elopura Calvin Chong, kesemua persatuan itu mahukan langkah menghidupkan semula barter trade itu dilakukan secepat mungkin.

Wakil persatuan itu menyatakan barter trade bukan punca kepada berlakunya penculikan mahupun jenayah rentas sempadan sebaliknya, ia adalah ruang untuk meningkatkan ekonomi serta mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Semasa pelaksanaan barter trade sebelum ini, Sandakan menjadi bandar yang sangat aktif dengan pembangunan hotel dan aktiviti ekonomi lain. Tetapi kini, aktiviti ekonomi di bandar ini bergerak perlahan.

Barter trade dihentikan sejak 2016 oleh kerajaan terdahulu atas faktor keselamatan berikutan banyak kes penculikan dan jenayah rentas sempadan yang berlaku, khususnya di perairan Selatan Filipina.