Pelajar UMS Gembira, Teruja Dapat Pulang Kampung Berhari Raya

KOTA KINABALU: Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menzahirkan perasaan gembira dan teruja apabila dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk bersama keluarga mereka menyambut Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.

Rata-rata mereka yang ditemui pada Program Pelajar UMS Balik Raya di Padang Kawad UMS dekat sini, bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi kerana memberi kebenaran itu.

Mohd Azman Amran, 21, yang berasal dari Negeri Sembilan berkata peluang balik ke kampung halaman apatah lagi pada musim perayaan ini sememangnya detik dinantikan kerana sudah terlalui merindu keluarganya.

“Saya amat bersyukur kerana tidak semua orang dapat peluang seperti ini untuk pulang berhari raya bersama keluarga. Semestinya saya merindui keluarga saya di kampung. Saya rindu untuk bakar lemang bersama keluarga di belakang rumah… dapat buat ketupat bersama dengan ibu saya,” katanya.

Seorang lagi pelajar UMS Awg Azreezan Awg Kasim yang berasal dari Tawau tidak menyangka mereka diberi kebenaran untuk pulang ke kampung dan menyifatkan ia satu peluang keemasan untuknya apatah lagi sudah lama tidak bertemu keluarga.

“Sebelum ini kami di kampus sahaja tidak dapat berjumpa dengan keluarga jadi, apabila dapat pulang, tentunya ia satu kegembiraan buat kami,” katanya.

Kedua-dua mereka merupakan antara 2,000 pelajar UMS yang akan pulang ke kampung halaman masing-masing bermula semalam hingga Rabu depan.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Datuk Taufiq Yap Yun Hin berkata pihak universiti telah menyediakan pelbagai inisiatif bagi memudahkan pergerakan para pelajarnya pulang ke kampung termasuk pengangkutan bas sewaan dan bas yang akan berulang-alik dua kali sehari menghantar pelajar ke lapangan terbang.

“Selain itu, kami turut mengagihkan pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan bekalan makanan sebelum semua pelajar balik,” katanya dan memaklumkan UMS akan turut menyediakan pengangkutan bagi melancarkan pergerakan para pelajar kembali ke kampus selepas selesai bercuti.

Dalam pada itu, Taufiq berkata walaupun ada kebenaran pulang ke kampung, kira-kira 4,500 pelajar UMS mengambil keputusan untuk tinggal di kampus sahaja.

Bagaimanapun, UMS akan sentiasa memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar berkenaan terjaga sepanjang berada di dalam kampus, katanya.