Pelajar Luar Bandar Harus Mempunyai Kemahiran Dalam Bidang IT

Raime, dua dari kiri, melawat bilik komputer yang baru di SJKC Chung Hwa Tenom.
Raime, dua dari kiri, melawat bilik komputer yang baru di SJKC Chung Hwa Tenom.

TENOM: Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi menyarankan pelajar luar bandar agar celik teknologi maklumat (IT) seiring dengan peredaran masa.

Katanya, berdasarkan situasi semasa hari ini generasi baru harus mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi maklumat.

“Selain menguasai pelbagai ilmu pengetahuan dalam sukatan pelajaran di sekolah, para pelajar perlu mahir dalam penggunaan komputer.

“Anak-anak kita hari ini sudah terdedah dengan pelbagai teknologi, justeru ibubapa juga harus mengikuti perkembangan semasa dan memahami keperluan mereka.

“Di samping itu, sebagai ibubapa harus ada semangat untuk membantu sekolah kerana peranan ibubapa juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan pencapaian akademik anak-anak,” katanya.

Raime bersama guru-guru dan para ahli PIBG merakamkan kenangan di bilik komputer sekolah SJKC Chung Hwa.
Raime bersama guru-guru dan para ahli PIBG merakamkan kenangan di bilik komputer SJKC Chung Hwa.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Komputer Baru SJKC Chung Hwa Tenom, di sini, baru-baru ini.

Raime yang juga Pengerusi Lembaga Pelesenan dan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Negeri Sabah berkata Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) perlu aktif dalam sekolah dan sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah dalam menjayakan sebarang program sekolah.

Katanya, ekoran perkembangan pembangunan sekolah-sekolah cina di Tenom, semua pemimpin masyarakat juga perlu bersatu membantu sekolah-sekolah ini.

“Jangan terlalu bergantung dengan peruntukan daripada pihak kerajaan tetapi ibubapa dan para pemimpin masyarakat juga harus berganding bahu membantu sekolah.

“Ini kerana bukan sahaja pelajar dari kaum Cina sahaja yang berada di sekolah-sekolah Cina malah kaum-kaum lain turut sama mendapatkan pendidikan di sekolah ini.

“Adalah suatu perkembangan yang baik kepada masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama kerana sekolah-sekolah di SJKC dapat kumpul pelbagai kaum dan mengeratkan lagi perpaduan rakyat di negara ini.” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan akan memberikan dua buah komputer kepada setiap sekolah SJKC di daerah Tenom pada tahun hadapan dan geran tahunan RM5 ribu kepada sekolah itu.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Tenom, Ridhuan Yusof, Lembaga Pengurusan Sekolah SJKC Chung Hwa Tenom, Ng Tet Hau, Guru Besar SJKC Chung Hwa, Pn.Ooi Foo Suan dan para ibubapa.