Pelajar Lepasan SPM dan STPM Harus Bijak Pilih Kursus

214
Carlye (empat dari kiri) menerima cenderahati daripada Edwin.

KOTA BELUD: Para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) harus bijak memilih bidang sebelum melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/S).

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, ini penting kerana insiden pengangguran yang besar di kalangan graduan.

“Kegagalan utama para graduan menempatkan diri di alam pekerjaan antara lainnya berkaitan dengan pilihan bidang pengajian yang bukan menjadi keperluan utama pasaran kerja atau berlaku lambakan graduan dalam bidang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena perasmian Mini Karnival Pendidikan ‘Jom Sambung Belajar’ anjuran Best Prestige Educare (BPE) Malaysia bersama Kumpulan Geomatika, di Dewan Tun Said Kota Belud, di sini, baru-baru ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Politik Menteri KPLB Sabah Carlye Lajimin.

Sehubungan itu Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian menyeru para graduan supaya bijak mencari peluang pekerjaan termasuk menceburi dunia perniagaan dan keusahawanan yang mempunyai peluang yang lebih terbuka.

“Oleh itu pemilihan bidang merupakan perkara paling penting dan menjadi satu kepentingan kepada semua pelajar sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi agar tidak menyumbang kepada pengangguran selepas tamat pengajian,” katanya.

Selain itu katanya, para pelajar juga dituntut melakukan kajian mengenai bidang kerjaya yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran kerja sebelum meneruskan pengajian.

“Sebagai contoh di Sabah, kerajaan sedang rancak membangunkan prasarana berkaitan pelancongan dan tidak dinafikan bahawa sektor pelancongan merupakan sektor ketiga penyumbang kepada ekonomi negeri ini hasil kehadiran pelancong asing seramai lima juta setahun dari serata dunia.

“Ini menunjukkan sektor pelancongan menawarkan peluang pekerjaan, perniagaan dan keusahawanan yang sangat tinggi. Terdapat 27 bidang dalam pelancongan yang membuka peluang pekerjaan di pasaran kerja hasil daripada kepesatan pembangunan pelancongan di Sabah,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pengetahuan dan kemahiran dalam dunia pelancongan menjadi faktor utama kepada seseorang untuk bersaing merebut peluang yang tersedia.

“Tahniah kepada Kumpulan Pendidikan Geomatika yang begitu serius membangun para pelajar dalam dunia pelancongan dengan menawarkan pakej dalam Pengurusan Pelancongan sambil berpeluang melawat ke enam buah negara di Asia.

“Kaedah ini merupakan satu peluang terbaik kepada para pelajar untuk menimba ilmu di negara orang seterusnya mempelajari bagaimana operasi pelancongan dalam dan luar negara dijalankan. Di samping itu mereka juga akan memperoleh idea-idea dan kajian bersesuaian untuk membangun pusat-pusat pelancongan seterusnya menceburkan diri dalam perniagaan dan keusahawanan,” katanya.

Ewon berkata, peluang pelajar melawat sambil belajar di luar negara secara tidak langsung menjadi duta kebudayaan untuk memasarkan kebudayaan negeri ini.

“Para pelajar institut pengajian tinggi memainkan peranan besar untuk menjadi Duta Pelancongan agar dapat membantu mempromosi sektor pelancongan secara digital,” katanya.

Turut hadir Ketua Eksekutif Best Prestige Educare Malaysia merangkap pengerusi penganjur Mini Karnival Kumpulan Pendidik Geomatika Prof Madya Edwin Laimin, Ketua Eksekutif North Borneo University College Prof Madya Doretty R. Jiroh, Ketua Eksekutif Geomatika Kolej Keningau Prof Wan Shah Bany Wan Ishak, Penyelia Pendidikan (Unit Kokurikulum) Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud Jaferi Jeral dan Pengurus Pengambilan Pelajar Geomatika University College Muhammad Azli Mohd Kassim.