Pelajar IPT Diminta Bersabar Sepanjang PKP, Fokus Belajar Atas Talian

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU : Semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) digesa menggunakan masa yang terluang untuk terus mengikuti kelas secara atas talian seperti yang dilaksanakan oleh IPT masing-masing semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, para pelajar haruslah kekal tenang dalam menghadapi situasi negara berhadapan dengan wabak Covid-19 dan bersama mematuhi penguatkuasaan kerajaan dalam membendung wabak tersebut.

“Kita mahu pelajar-pelajar Sabah menjaga imej negeri kita dan imej kita sebagai Sabahan.

“Saya yakin PKP ini bersifat sementara dan kita mesti memberikan kerjasama untuk menghalang penularan Covid 19 ini,” katanya.

Yusof berkata, kerajaan negeri amat prihatin dengan kesukaran yang dilalui oleh pelajar  dan bantuan dari segi bekalan makanan dan bantuan kepada pelajar yang terkandas juga telah diberikan sejak hari pertama PKP dikuatkuasakan.

Tambahnya, banyak soalan telah diajukan kepada Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah berkenaan bantuan yang diberikan oleh kerajaan semasa PKP.

“Jawapan kepada soalan tersebut boleh diakses dalam ruangan soalan lazim dan sekiranya terdapat soalan selain daripada yang kebiasaannya diajukan, bolehlah dikemukakan terus dalam ruangan pertanyaan yang dişediakan melalui portal rasmi Kementerian Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah https://kpins.sabah.gov.my atau emel ke [email protected], “katanya.

Selain itu, beliau turut berharap keadaan akan kembali seperti sedia kala di mana para pelajar dapat meneruskan pembelajaran tanpa perasaan risau dan tertekan.

Katanya, beliau sentiasa mendoakan agar para pelajar anak Sabah akan terus berjaya dan cemerlang dalam apa keadaan sekalipun.