Pelajar Ditemui Mati Di Bilik Asrama

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Seorang remaja perempuan ditemui mati tergantung dalam bilik asrama di sebuah sekolah di Jalan Damai, semalam.

Pelajar berusia 15 tahun yang berasal dari Kota Marudu itu ditemui rakan dan warden asrama pada jam 6.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7.30 malam oleh warden sekolah.

“Hasil siasatan, warden diberitahu oleh rakan sebilik bahawa pelajar itu terkurung di dalam asrama sebelum bertindak memecahkan pintu bilik.

“Sebaik pintu berjaya dibuka, didapati pelajar terbabit sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, siasatan lanjut mendapati, pelajar itu baru dua hari kembali ke asrama bagi memulakan persekolahan semalam.

“Pelajar Tingkatan Tiga ini berasal dari Kota Marudu dan baru dua hari masuk asrama untuk sesi persekolahan.

“Ayah pelajar sudah dimaklumkan berhubung kejadian ini dan tiba di sini semalam sebaik menerima maklumat,” katanya.

Habibi berkata, punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan kes klasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Bedah siasat akan dijalankan hari ini,” katanya.