Pelajar Di Kampung Nangkawangan Terpaksa Menaiki Rakit Buluh Dan “Zipline” Untuk Ke Sekolah

NABAWAN : Video pelajar di Kampung Nangkawangan di Nabawan menyeberangi sungai dengan menaiki rakit buluh dan mengelongsor seolah-olah menaiki ‘zipline’
untuk ke sekolah, tular di media sosial sejak malam tadi.

Mereka saban hari bergadai nyawa untuk menyeberangi sungai demi menimba ilmu
selepas jambatan gantung di situ dihanyutkan banjir, Mac lalu.

Jurucakap penduduk, Zazila Roslan, 30, berkata jambatan gantung berkenaan hanyut dalam banjir besar yang melanda beberapa kawasan di Nabawan bulan lalu.

Katanya, beberapa lagi laluan, sama ada jambatan gantung atau jambatan konkrit untuk menyeberangi sungai, turut musnah akibat bencana alam ketika cuti sekolah itu.

Zazila berkata, dia dimaklumkan oleh wakil rakyat kawasan itu yang juga Ahli Parlimen Pensiangan Arthur Joseph Kurup untuk menyediakan bot bagi kegunaan penduduk sementara menunggu pembinaan jambatan baharu.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini janji itu belum ditunaikan dan menyebabkan penduduk kampung serta pelajar terpaksa menaiki rakit buluh untuk ke seberang sungai dan sekiranya aliran sungai deras, mereka akan menggunakan kaedah “zipline”.

Ahli Parlimen Pensiangan Arthur Joseph Kurup berkata, beliau telah bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memaklumkan keadaan beberapa kawasan di Nabawan yang terjejas teruk akibat banjir.

Katanya, Ismail juga telah bersetuju mengeluarkan peruntukan kecemasan bagi mengatasi masalah itu.

“Saya sedia maklum dengan situasi ini yang mana kerosakan dialami adalah akibat banjir besar yang berlaku-baru ini.

“Sehubungan itu, saya telah bertemu dengan Perdana Menteri bagi memaklumkan masalah ini dan beliau bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan kecemasan.

“Sepasukan pegawai teknikal dari unit penyelaras pelaksana serta pejabat daerah juga telah melawat kawasan terbabit, dua hari lalu dan kini mereka sudah mula menyediakan laporan yang diperlukan,” katanya kepada Free Malaysia today (FMT), hari ini.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, beliau juga akan bertemu dengan penduduk kampung bagi membincangkan penyediaan pengangkutan lebih selamat kepada pelajar terbabit.

Sebelum ini, media turut melaporkan keperitan sekumpulan guru dan kakitangan sekolah di Nabawan yang terpaksa berjalan kaki selama 18 jam untuk sampai ke sekolah mereka, SK Pangaraan, baru-baru ini ekoran kemudahan infrastruktur seperti jambatan yang musnah dan jalanraya yang runtuh akibat banjir.