Pelajar Asrama Positif Bertambah Kepada 36 Kes

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Saringan Covid-19 melibatkan pelajar yang dibenarkan balik ke asrama meningkat kepada 36 kes, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia membabitkan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mula dibenarkan balik ke asrama mulai 16 Jan.

Sejak Ahad, kes pelajar positif Covid-19 telah dikesan melalui saringan masuk ke asrama.

Bagaimanapun berdasarkan maklumat Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) pagi tadi, kes positif membabitkan pelajar yang positif ini dikesan sebelum mereka masuk ke asrama. Ia bermakna belum ada pelajar positif yang dibenarkan masuk ke asrama.

Masidi berkata, pelajar yang diperintahkan menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah (PKRC) boleh mengikuti sesi pembelajaran secara atas talian (online).

Katanya, setiap PKRC di Sabah disediakan perkhidmatan internet oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah

“Untuk itu, pelajar-pelajar yang menjalani rawatan dan tempoh kuarantin boleh menggunakan perkhidmatan ini untuk mengikuti sesi pembelajaran atas talian,” katanya semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 di negeri Sabah, hari ini.

Sesi persekolahan bagi pelajar menduduk SPM dan STPM mula diadakan secara bersemuka hari ini, sementara pelajar lain mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selaras dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).