Pelaburan RM7B Baru Sign, Rahman Tampil Dengan Tuduhan Melampau

RAHMAN DAHLAN

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Belum pun projek pembangunan RM7 bilion yang diterima Kerajaan Sabah bermula, pemimpin UMNO sudah melontarkan pelbagai tuduhan negatif, malah menganggap projek pembangunan bercampur itu seperti tiada manfaat langsung kepada ekonomi negeri.

Ketika rakyat Sabah menyambut baik pemeteraian perjanjian itu yang merupakan pelaburan terbesar diterima Malaysia semasa ekonomi negara merudum disebabkan Covid-19, pemimpin UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pula lebih gemar mengeluarkan kenyataan berbaur tuduhan melulu untuk mempengaruhi rakyat agar tidak menyokong apa sahaja usaha kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam membangunkan Sabah.

Dalam entri di Facebook beliau itu, Abdul Rahman bagaimanapun gagal melihat dari sudut positif tentang langkah Kerajaan Sabah untuk mencari pelaburan jangka panjang bagi memajukan ekonomi Sabah semasa pasca Covid-19.

Beliau juga tidak mengulas tentang kejayaan Yayasan Sabah daripada sebuah agensi yang hanya menjual balak semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) kepada agensi kerajaan yang kini berkecimpung dalam bidang hartanah untuk menjana pendapatan bagi meneruskan agenda membangunkan sektor pendidikan rakyat Sabah.

Abdul Rahman dalam tuduhannya berkata, projek pembangunan itu akan berdepan dengan pasaran yang murung memandangkan permintaan dalam pasaran hartanah serta perumahan di seluruh dunia lembab ketika ini, malah turut mendakwa jika projek terbantut, Yayasan Sabah akan terjerat dengan projek yang tidak berdaya saing.

“Projek ini berada di laluan penerbangan udara lapangan terbang Kota Kinabalu. Bagaimana dengan faktor keselamatan dan kebolehpasaran projek itu jika kapal terbang sentiasa bising di atas udaranya?

“Projek Bandar Malaysia di Kuala Lumpur mewajibkan syarikat membina rumah mampu milik sebagai timbal balas kepada peluang membangunkan projek Bandar Malaysia. Kenapa kerajaan Sabah tidak mewajibkan syarikat Tegas Bangsa untuk membina rumah mampu milik di sekitar kawasan projek kerana sudah tentu ramai penduduk kampung yang terpaksa berpindah?,” katanya di laman Facebooknya.

Semalam, Kerajaan Sabah menjadi negeri menerima pelaburan terbesar bernilai RM7 bilion itu daripada anak syarikat hartanah terkemuka antarabangsa, Pavillion Real Estate Investment Trust iaitu Tegas Bangsa Sdn. Bhd. (Tegas Bangsa) untuk membangunkan 156.4 hektar tanah Yayasan Sabah di Meruntum, Lok Kawi dengan pembangunan bercampur.

Projek itu membabitkan pembangunan pusat pelancongan, komersial, hotel, perumahan, taman tema dan pelbagai lagi bermula tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh 15 tahun.

Abdul Rahman antara lain turut berkata, penularan Covid 19 juga telah menjejaskan industri taman tema, justeru pembangunan taman tema di tanah itu tidak relevan.

“Ketika rakyat sedang menunggu pengumuman perancangan jangka pendek dan jangka sederhana kerajaan negeri Sabah untuk menyelamatkan ratusan ribu pekerjaan dan ribuan bisnes rakyat Sabah yang sedang menghadapi cabaran yang cukup mencabar kerana Covid 19, kerajaan Sabah tidak sepatutnya mengumumkan projek mega jangka panjang yang akhirnya hanya akan memberi keuntungan kepada syarikat besar dan orang kaya yang mampu membeli hartanah projek tersebut.

“Lagipun industri pelancongan sedang berdepan dengan keadaan hidup mati akibat Covid 19 dan semua negara mengakui industri ini akan tertekan walaupun selepas Covid 19 reda,” katanya.