Pelabur Swasta Yakin Ekonomi Sabah

156
Datuk Tan Kar Leong, kiri, berkata, peningkatan sektor pelancongan yang pesat di Sabah memberi suntikan semangat kepada syarikatnya untuk membina hotel bertaraf empat bintang di Kota Kinabalu.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kestabilan ekonomi dan politik Sabah mendapat kepercayaan daripada pelabur untuk melabur ke negeri ini terutama dalam sektor perhotelan yang disokong oleh kepesatan industri pelancongan.

Kestabilan yang wujud itulah menjadi pendorong kepada syarikat pelaburan swasta, Grand Liberty Sdn Bhd memilih untuk melabur sebanyak RM120 juta membina Hotel Grand Liberty di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Tan Kar Leong berkata, peningkatan sektor pelancongan yang pesat di Sabah memberi suntikan semangat kepada syarikatnya untuk membina hotel bertaraf empat bintang itu yang akan menyediakan kira-kira 300 peluang pekerjaan baharu kepada Sabahan.

“Kami yakin kestabilan ekonomi dan keadaan politik di Sabah ini akan terus menjadi pemangkin lebih banyak lagi pelabur seperti akan membantu pembangunan Sabah dalam masa terdekat ini.

“Dalam masa setahun sahaja, pelancong yang datang ke Sabah telah meningkat dengan begitu drastik dan amat membanggakan, kini Sabah menjadi pilihan destinasi pelancongan bukan sahaja keindahan alam semula jadi dan keunikan kebudayaan, namun menjadi platform antarabangsa untuk industri- industri yang lain,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Hotel Grand Liberty hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.

Kar Leong berkata, Hotel Grand Liberty yang berkonsepkan hotel dalam bandar mempunyai 301 bilik yang dibina di kawasan berkeluasan 200,000 kaki persegi di tengah Kota Kinabalu dan mempunyai kemudahan restoran, gym, kolam mandi, bilik mesyuarat serta pelbagai lagi.

Katanya, hotel berkenaan akan mengambil staf di peringkat pengurusan sehingga kumpulan sokongan daripada rakyat Sabah keseluruhannya.

Sementara itu jelasnya, sebagai syarikat pelabur, Grand Liberty Sdn. Bhd. yakin ekonomi Sabah akan berkembang pesat dalam tempoh beberapa tahun ini di bawah pimpinan Mohd. Shafie.

“Sebagai pelabur, kami amat berterima kasih kerana kecekapan sistem pengurusan sekarang, para pelabur tidak perlu lagi menunggu bertahun-tahun untuk mendapatan kelulusan dalam pembangunan seperti sebelum ini.

“Kecekapan urus tadbir seperti ini akan melonjakkan lagi kepesatan pembangunan ekonomi di Sabah, kami yakin dalam tiga atau empat tahun ini lebih banyak pelaburan dalam dan luar negara akan masuk ke Sabah,” katanya.