Pelabuhan Sandakan Siap, Bakal Pacu Pembangunan Sektor Logistik

2048
Shafie Apdal, tengah, dalam sidang media di Sandakan pada khamis. Bersama dia ialah datuk madius tangau, kanan, Dan tan sri Ibrahim menudin, pengerusi suria capital bhd.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Kerajaan negeri melangkah setapak lagi dalam usaha memajukan kembali Sandakan melalui sektor logistik selepas siapnya pembesaran dermaga di Pelabuhan Sandakan berukuran 495 meter panjang dan 65 meter lebar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pembinaan dermaga bernilai RM129.4 juta itu bakal menjadi penyokong utama kepada kerancakan sektor perindustrian di pantai timur Sabah dalam sedikit masa lagi.

Beliau berkata, Sandakan kini bersedia sepenuhnya menerima kemasukan lebih banyak kapal-kapal dagang besar serta kapal pelancong yang membawa pengunjung dari luar negara melawat bandar berkenaan.

Ketua menteri disambut oleh warga Sabah Ports sebaik tiba di jeti baharu Sandakan

“Pembinaan ini membolehkan kita menampung keperluan yang meningkat di kawasan ini daripada segi dagangan bukan hanya dari negara jiran seperti Indonesia dan Filipina tetapi juga dari rantau ini seperti China serta Jepun.

“Kerajaan akan berusaha meningkatkan sektor perindustrian agar pelabuhan ini digunakan bukan sahaja untuk produk dari luar datang tetapi kita mahu ada juga produk tempatan untuk dipasarkan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan simbolik pelancaran dermaga baharu itu yang kini boleh menampung enam buah kapal dagang dalam satu masa.

Mohd. Shafie berkata, dalam membangunkan pantai timur termasuk Sandakan dan menambah peluang pekerjaan, antara usaha beliau adalah mewujudkan kembali industri pengeluaran produk berasaskan kayu di kawasan itu melalui pembukaan kilang-kilang papan.

Sehubungan itu katanya, selain menggalakkan kilang-kilang besar melabur, kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan juga turut berusaha memastikan supaya bekalan kayu kepada kilang-kilang apabila beroperasi nanti mencukupi.

“Kita sudah kenal pasti seperti kluster perindustrian minyak sawit (POIC) Sandakan yang dijadikan sebagai pusat perabot dan saya juga menyusun atur agar Yayasan Sabah serta Jabatan Perhutanan membantu menjayakan industri kayu-kayan ini.

“Di Kota Kinabalu contohnya, saya telah berbincang dengan kilang-kilang perabot besar seperti Superwood dan Borneo Wood agar bukan sahaja mengeluarkan produk untuk pasaran tempatan tetapi juga luar negara kerana manfaatnya nanti dapat dinikmati oleh Pelabuhan Sepanggar,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, bagi memaksimumkan penggunaan Pelabuhan Sandakan, kata Mohd. Shafie, pihak berkuasa tempatan juga perlu meningkatkan lagi kualiti produk pelancongan di bandar itu untuk menjadi tarikan pengunjung.

“Baru-baru ini sudah ada kapal pelancong datang membawa 500 orang ke pelabuhan ini, mereka melancong selama sehari dan berbelanja di bandar ini.

“Jadi nanti mereka boleh tinggal lebih daripada sehari tetapi saya beritahu supaya perbaiki produk pelancongan seperti di Sepilok bukan sahaja Beruang Madu dan Orang Utan tetapi perbanyakkan lagi produk itu,” tambahnya.