Pekerja Restoran, Pasar Raya Perlu Divaksin Dalam Tempoh Sebulan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberikan masa selama sebulan untuk pekerja restoran dan pasar raya divaksin sebelum menguatkuasakan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang baharu.

Kenyataan ini susulan SOP baharu yang membenarkan pekerja dan pelanggan sudah lengkap divaksin sahaja memasuki restoran dan pasar raya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, penguatkuasaan SOP bagi pasar raya dan restoran pada peringkat awal ini lebih berbentuk pendidikan dan peringatan dan bukan bertujuan untuk mengenakan penalti.

“Maka, semua yang terlibat dalam sektor ini diharap akan memperolehi vaksin lengkap dalam masa sebulan. Penguatkuasaan kepada pematuhan SOP akan dilaksanakan sepenuhnya selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Katanya, beliau faham ada antara pekerja di pasar raya dan restoran belum menerima vaksin atau belum lengkap divaksin. Jadi, adalah dinasihatkan semua pekerja yang belum divaksin supaya segera mendapatkan vaksin dimana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran.

Untuk pekerja restoran, pasar raya dan hotel di sekitar Kota Kinabalu ini, mereka boleh datang ke PPV di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) untuk vaksinasi.

Menurutnya, pelaksanaan SOP baharu ini dibuat setelah mengambil kira situasi pandemik Covid-19 di Sabah yang mencatatkan kes yang tinggi setiap hari.

Atas sebab itu, kerajaan negeri perlu mengambil apa juga tindakan bagi mengurangkan penularan jangkitan virus Covid-19.

“Kerajaan negeri melihat tindakan menguatkuasakan SOP baharu di pasar raya dan restoran adalah sebahagian daripada langkah-langkah tersebut. Usaha ini bagi mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat dalam ruang perniagaan. Ini akan memberi manfaat dan jaminan kesihatan bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga pelanggan,” ujarnya.

Tambah Masidi, langkah ini akan membantu mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 semasa berada di pasar raya dan restoran.