Pekerja Ladang Wajib Jalani Saringan COVID-19

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mewajibkan semua syarikat perladangan di Sabah membuat ujian saringan Covid-19 ke atas semua pekerja ladang berikutan penemuan dua kluster baharu hari ini.

Hari ini dua kluster baharu dikesan di Ladang Ladang Baturong, Kunak dan Ladang Matamba, Lahad Datu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, berikutan itu, kerajaan memutuskan untuk mewajibkan semua pekerja ladang menjalani ujian saringan Covid-19.

Pengusaha ladang juga diarahkan utnuk menyediakan fasiliti kesihatan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di ladang masing-masing atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kebajikan pekerja.

Arahan ini dikeluarkan susulan langkah kerajaan mewajibkan semua pekerja asing yang berada di Sabah untuk menjalani saringan Covid-19 berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Berdasarkan maklumat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah, sehingga Isnin lepas lebih 100,000 pekerja asing di negeri ini belum menjalani ujian saringan Covid-19.

Ketika ini terdapat 115,157 orang pekerja asing yang berdaftar dan bekerja di pelbagai sektor di Sabah.

Menyentuh mengenai kos saringan, Masidi berkata, mana-mana pekerja yang mencarum dibawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebahagian kos akan ditanggung oleh Perkeso.

Namun, untuk pekerja yang tidak mencarum, syarikat pengurusan ladang harus menanggung kos saringan kerana itu pekerja mereka dan saringan ini demi kebaikan pihak pengurusan.

“Jangan hanya disebabkan kos tidak ditanggung oleh Perkeso, mereka tidak dibenarkan menjalani saringan. Sama ada kos ditanggung atau tidak, ini tanggungjawab sosial pihak pengurusan,” katanya semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, hari ini.

Menurutnya, kerajaan tidak mahu menghukum mana-mana pihak namun, pengurusan harus memastikan pekerja ladang menjalani ujian kerana ini bagus untuk perniagaan syarikat mereka.

“Kita faham memang akan ada beban kewangan tapi anggaplah ini sebagai tanggungjawab sosial ke atas pekerja mereka kerana ia bagus untuk perniagaan ladang mereka,” ujarnya.

Tambahnya, bukan niat kerajaan hendak menghukum tapi ini adalah usaha bersama dalam menangani pandemik Covid-19 di Sabah.