Pekan Kecil Matunggong Bakal Miliki Balai Polis Sendiri

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUDAT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki akan terus memberi perhatian agar cadangan mewujudkan Balai Polis di Pekan Kecil Matunggong dapat direalisasikan.

Beliau berkata, sehingga hari ini, Pekan Matunggong masih tidak mempunyai balai polis dan penduduk hanya bergantung harap kepada perkhidmatan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat.

Katanya, semasa perbincangan bersama pihak Pejabat Daerah Kecil Matunggong, mereka mencadangkan agar sebuah bangunan kerajaan digunakan untuk dijadikan balai polis.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat ini berkata, bangunan ini suatu ketika dahulu merupakan rumah kediaman kakitangan Pejabat Daerah Kecil Matunggong.

“Disebabkan bangunan ini tidak digunakan adalah wajar sekiranya ianya dapat digunakan sementara menunggu pembinaan balai polis kekal di tapak tersedia. Dalam masa yang sama, kos operasi juga dapat dikurangkan,” ujarnya.

Julita diiringi oleh Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong, Francis Chong bersama wakil Ketua Polis Daerah Kudat Asisten Superitendan Mohd Azli Fauzan Othman membuat tinjauan ke bangunan yang dicadangkan.

“Kita merasa gembira kerana akhirnya balai polis akan beroperasi di Matunggong,” ujarnya.

Turut hadir dalam tinjauan itu ialah Ketua Bahagian Logistik dan Teknologi IPD Kudat, Asisten Superitendan Ag Saifudin Ag Imran dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Marius Masain.