Pekan Donggongon Kini Lebih Bersih Dan Cantik

Pritchard dan Albert melakukan simbolik pelancaran gotong-royong membersih dan mencantikkan Pekan Donggongon.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
PENAMPANG: Pekan Donggongan kini tidak lagi kotor dan berbau busuk seperti yang berlaku sebelum ini selepas banyak usaha dilakukan sejak sebulan lalu untuk memastikan kebersihan di pusat perniagaan itu terjaga.

Pagi ini, lebih 200 sukarelawan terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan pelajar sekolah turut bergotong-royong mengindahkan landskap pekan berkenaan yang selama ini mendapat keluhan orang ramai kerana terabai.

Setiausaha Politik Kepada Ahli Parlimen Penampang, Pritchard Gumbaris berkata, gotong-royong yang dilakukan di situ sejak dua minggu lalu adalah yang pertama diadakan selama lebih 30 tahun pembukaan Pekan Donggongon.

Pelajar sekolah bersama-sama mencantikkan landskap Pekan Donggongon agar lebih ceria dan mendapat tumpuan.

“Ini adalah susulan daripada program yang kita sudah buat dulu, program susulan di mana pembersihan parit telah dilakukan secara menyeluruh di Penampang, saya difahamkan bahawa parit-parit yang ada di sini sebenarnya sudah lama tidak dibersihkan mungkin dekat 30 atau 40 tahun.

“Jadi kalau kamu lihat di Facebook baru-baru ini kita ada nampak kekotoran itu dan diharapkan dengan program yang seperti ini akan lebih mencantikkan dan membersihkan Donggongon supaya menjadi daya penarik kepada pelancong bukan sahaja dari luar negara tetapi juga dari daerah lain,” katanya yang turut menyertai gotong-royong berkenaan bersama Pegawai Khas Ahli Parlimen Penampang, Albert Chin.

Kerja-kerja mengecat dilakukan oleh pelajar sekolah yang turut menyertai gotong-royong.

Program anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Penampang dengan kerjasama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) iaitu agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu disertai sukarelawan Brotherhood Alpha serta pelajar sekolah dari Sekolah Menengah St. Michael, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbanak dan SMK Bahang.

Gotong-royong berkenaan melibatkan aktiviti mencantikkan landskap seperti mengecat binaan simen, menimbus pasir di kawasan penanaman pokok, membersihkan longkang serta banyak lagi.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking telah meninjau keadaan di pekan berkenaan dan menyatakan kekesalan beliau terhadap kebersihan di situ yang kurang memuaskan.

Para sukarelawan bekerja keras membersihkan longkang yang tersumbat.

Beliau kemudiannya meminta supaya Majlis Daerah Penampang mengambil langkah segera dan mengurangkan kerenah birokrasi untuk memastikan kerja-kerja pembersihan Pekan Donggongon dapat dimulakan.

Pritchard berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah menerima teguran dengan baik dan hasilnya kerja-kerja pembersihan serta pemulihan pusat pentadbiran Penampang itu telah dimulakan.

Tambahnya, pihak majlis juga sedang berunding dengan para peniaga di situ agar mereka turut bertanggungjawab mencantikkan bangunan masing-masing melalui pendekatan yang menguntungkan semua pihak.

Lebih 200 sukarelawan termasuk NGO Penampang iaitu Brotherhood Alpha dan agensi kerajaan MARii bersama-sama menyertai gotong-royong di Pekan Donggongon.

“Perkara ini sudah kita bincangkan dengan majlis beberapa minggu lalu tentang usaha-usaha untuk membersihkan serta mencantikkan bangunan-bangunan di sini jadi saya rasa dalam proses perbincangan dengan pegawai eksekutif.

“Tetapi sudah tentu ada sesuatu yang kita akan lakukan untuk cantikkan bangunan, kalau kita tengok bangunan sini sudah uzur dan warna sudah luntur, jadi harus lakukan satu program di mana inisiatif antara peniaga, bagaimana cara dia mungkin majlis akan buat satu insentif untuk menggalakkan kecantikan kawasan Donggongon,” katanya.