Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah Lancar Pelan Strategik 2016-2020

Lakaran artis Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah yang kini hampir siap.
Lakaran artis Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah yang kini hampir siap.

KOTA KINABALU – Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah (PSUPS) hari ini melancarkan Pelan Strategik 2016-2020 agensi itu yang menggariskan rancangan strategiknya bagi memastikan PSUPS kekal relevan dengan peranannya di Sabah.

Borhan Dolah
Borhan Dolah

Pelan Strategik setebal 39 muka surat yang mengandungi lima teras strategik itu dilancarkan oleh Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Borhan Dolah sempena Mesyuarat Perhubungan Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan di Sabah di sini hari Selasa.

Pelan Strategik berkenaan merupakan kesinambungan daripada Pelan Strategik 2010-2015 yang telah dinilai semula serta ditambah baik bagi memantapkannya dengan mengambil kira cabaran dan situasi semasa termasuk cabaran kesalamatan dan politik.

“Tugasan utama kita (PSUPS) ada dua. Satu, kita merupakan tali penghubung atau jambatan antara kerajaan Persektuan dan kerajaan negeri. Dalam pelan strategik ini, kita memperkukuh urusan berkaitan hubungan kita dengan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pelan berkenaan di sini.

Menurut Borhan tugasan PSUPS lain yang diperkasakan di dalam pelan strategik berkenaan ialah proses penyelarasan dan penyeragaman urusan pembangunan dan projek pembangunan serta hartanah yang melibatkan kerajaan persekutuan dan negeri.

Borhan berharap melalui pelan srategik berkenaan, dalam tempoh lima tahun akan datang, PSUPS terus memainkan peranan yang lebih kukuh dan mantap untuk pembangunan di Sabah.

Lima teras strategik dalam pelan berkenaan ialah memperkukuhkan pengurusan perhubungan agensi Persekutuan dan kerajaan negeri bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan agensi persekutuan dan kedua ialah memperkasakan peranan sebagai pemudahcara isu-isu pelaksanaan program serta projek pembangunan persekutuan.

Teras strategik ketiga ialah memantapkan pengurusan kuarters dan kemudahan gunasama bagi mempertingkatkan keselesaan pengguna, keempat memperkasa tadbir urus organisasi dan pembudayaan nilai-nilai murni ke arah kecemerlangan organisasi dan kelima ialah memantapkan pengurusan serta isu strategik bagi penyimpanan maklumat secara sistematik.