Pejabat Pos Semporna Perlu Dipindahkan; Atasi Kesesakan Pelanggan

1576
Hampir setiap hari beginilah keadaan barisan orang ramai yang berurusan di Pejabat Pos Semporna

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SEMPORNA: Melihat hampir setiap hari orang ramai berbaris di bawah panas mentari di luar Pejabat Pos Semporna menyebabkan Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) Semporna tampil menyuarakan rintihan masyarakat di daerah itu.

Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) Wira Warisan Benny Chiu meminta kerajaan mendengar keluhan rakyat yang berada di daerah kelahiran Ketua Menteri Sabah itu.

Beliau berkata, isu tentang keadaan pejabat pos itu sudah mula tular dalam laman media sosial berikutan orang ramai berbaris di bawah panas matahari ketika berurusan di situ setiap hari.

Kaunter Pos Laju yang ditempatkan di luar menyebabkan orang ramai terpaksa berbaris panjang ketika berurusan di kaunter berkenaan.

”Masyarakat boleh terima sekiranya mereka hanya perlu berbaris panjang seminggu sekali mahupun sebulan sekali. Namun, penduduk di sini berbaris di luar bangunan yang tidak berbumbung hampir setiap hari ketika berurusan di pejabat pos terbabit.

”Menyedari keluhan dan keperluan masyarakat di sini, saya mewakili anak jati Semporna berharap bangunan pejabat pos ini akan dipindahkan ke kawasan lebih luas dan strategik. Bangunan pejabat pos ini sudah berusia hampir 70 tahun dan belum pernah berpindah kedudukan.

”Kedudukan pejabat pos sekarang ini berada betul-betul di hadapan bulatan jalan. Malah, tiada ruang untuk meletakkan kenderaan,” katanya ketika dihubungi Borneo Today, di sini pada Isnin.

Benny berkata, kepadatan penduduk Semporna yang semakin hari semakin bertambah perlu diambil kira dalam usaha menyediakan khidmat yang lebih baik di Pejabat Pos berkenaan.

Walaupun bangunan Pejabat Pos itu masih dikira selamat namun, kesesakan pelanggan setiap hari perlu diambil perhatian.

Buat masa ini hanya empat kaunter yang boleh ditempatkan di pejabat pos ini termasuk kaunter pos laju yang berada di bahagian luar.

Benny berharap agar Kerajaan Negeri baharu dibawah pimpinan Warisan ini akan mengikhtiarkan sesuatu bagi menangani masalah kesesakan pengguna di Pejabat Pos Semporna ini.

Katanya, langkah terbaik adalah memindahkan pejabat pos ini ke kawasan yang lebih luas supaya ia boleh menampung jumlah pelanggan yang semakin ramai.