Pedalaman Terima Warisan Perjuang Butiran Batu Sumpah MA63 – Honorsius

Shafie Apdal puts on the Warisan shirt on Jake Nointin, the former PBS Youth chief who joined Parti Warisan in Keningau on Sunday along with 1,119 of his supporters.

Oleh HENRY BATING
KENINGAU: Himpunan lautan manusia menemui Presiden Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal membanjiri tapak pertemuan Program Ramah Mesra di Kauraan di sini pada Ahad menunjukkan rakyat kawasan majoriti pengundi Kadazandusun Murut sudah bersiap sedia membawa perubahan positif pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 beberapa bulan dari sekarang.

Ketua Penerangan Warisan, Honorsius Alfred Bosuin berkata penduduk pedalaman tidak syak lagi telah menaruh harapan tinggi terhadap matlamat perjuangan parti untuk menyempurnakan tiga perkara dasar yang terukir dalam Batu Sumpah Keningau bagi merealisasikan kehidupan mereka yang lebih sejahtera.

“Parti Warisan amat menghargai sokongan rakyat yang ditunjukkan melalui kehadiran di Kauraan dan juga penyertaan rasmi menjadi ahli parti,” kata Honorsius merujuk 2,893 borang keahlian diserahkan kepada Shafie dalam pertemuan itu diketuai mantan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Pusat, Jake Jikulin Nointin.

HONORSIUS BOSUIN

Jake yang juga mantan Ketua Bahagian PBS Liawan, mengetuai gelombang penghijrahan keahlian dari Barisan Nasional (BN) ke Warisan bersama 1,119 bekas ahli PBS, 1500 bekas ahli Umno diketuai mantan Ketua Pemuda Umno Tenom, Mansur Maidin dan 274 bekas ahli Star diketuai Patrick Aliun.

Honorsius menegaskan, dengan momentum tebaru di Kauraan, rakyat pedalaman pada hakikatnya telah yakin kepada Warisan untuk memperjuangkan hak tanah, kedaulatan adat dan kebebasan beragama seperti yang tercatat dalam Batu Sumpah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sejak awal jelajah Warisan ke pedalaman, Shafie telah memberi satu penegasan bahawa parti Warisan akan menghapuskan geran komunal, menyediakan peluang pekerjaan dalam industri perkilangan, memberi pembelaan ke atas hak tanah adat dan menjamin kebebasan beragama untuk hidup damai dan harmoni.

Sebelum berangkat ke Kauraan pada Ahad, Shafie menemui pemimpin pelbagai denominasi gereja untuk berdialog dari hati ke hati tentang keharmonian hidup dalam kebebasan beragama yang sudah diamalkan di Sabah sejak lama dahulu.

Honorsius turut berterima kasih kepada semua orang termasuk ahli baharu di atas kerja keras dan sokongan padu mereka sehingga menjadikan program di Kauraan satu peristiwa yang melonjakkan perjuangan Warisan di pedalaman.