Pecat Speaker Tanpa Alasan, Dewan Rakyat Panas

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat panas selepas usul menjatuhkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Arif Md. Yusof dibentangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini.

Muhyiddin berkata, usul itu dibentangkan atas alasan ada calon lain untuk ke jawatan berkenaan.

Usul tersebut mendapat kebenaran daripada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang mempengerusikan mesyuarat.

Mohd. Rashid kemudiannya menjelaskan mesyuarat hanya membenarkan empat wakil rakyat berbahas iaitu dua daripada pihak kerajaan dan dua pembangkang manakala setiap pembahas diberikan 10 minit.

Arahan tersebut bagaimanapun dibantah oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ini adalah pertama kali dalam sejarah negara usul memecat Yang Dipertua Dewan Rakyat di bentangkan.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Sing Deo kemudiannya mencelah dengan Peraturan Mesyuarat meminta Mohd. Rashid membuat ketetapan tentang keputusan beliau membenarkan usul tersebut memandangkan kerusi tersebut tidak kosong.

Mohd. Rashid bagaimanapun tidak menjawab persoalan tersebut sebaliknya meminta untuk Anwar meneruskan perbahasan menyebabkan Ahli Parlimen pembangkang lain tampil membantah.

Antara yang tampil ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang menempelak Mohd. Rashid kerana keengganannya menentukan ketetapan terhadap persoalan yang ditanya kepadanya.

Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu kemudinnya tampil dengan menyifatkan Mohd. Rashid sebagai bodoh.

Walaupun didesak, Mohd. Rashid tetap enggan membuat keputusan.

Anwar yang meneruskan perbahasan kemudiannya mempersoalkan pemecatan Mohamad Arif memandangkan beliau telah menjalankan tanggungjawabnya selama ini dengan cemerlang.

“Ini adalah satu sejarah dan penghinaan kepada seseorang yang dipecat tanpa alasan.

“Saya minta Perdana Menteri memberikan alasan kepada pemecatan ini,” katanya.