Pecah Amanah, Bekas Pekerja Di Labuan Mengaku Tidak Bersalah

154

LABUAN: Seorang bekas pekerja sebuah kedai perkakasan di sini hari ini mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan bagi satu kes pecah amanah melibatkan sejumlah RM86,010.

Trevor Gomes, 38, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Trevor yang dituduh menerima bayaran daripada pelanggan kedai tersebut dan membelanjakannya untuk kegunaan dirinya sendiri, didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 20 Jan 2016 hingga 14 Mac 2019 di kedai tersebut di Jalan Merdeka di sini.

Majistret Leona kemudiannya menetapkan jaminan RM8,000 dengan dua penjamin tempatan, dan 22 Ogos sebagai tarikh sebutan kes.