PDRM Sabah Belum Lumpuh Untuk Perangi COVID-19

KOTA KINABALU: Polis Sabah belum lumpuh untuk memerangi pandemik Covid-19 di negeri ini.

Ketika ini, cuma 15 orang pegawai dan anggota dijangkiti Covid-19 dengan jumlah anggota yang dikuarantin kurang daripada 150 orang.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, jumlah ini jauh lebih rendah berbanding bilangan pegawai dan anggota yang dijangkiti lebih 100 orang dan hampir 1,000 dikuarantin sepanjang tahun lepas termasuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata, setakat ini 85 peratus pegawai dan anggota PDRM Sabah telah menerima dos lengkap vaksin.

Untuk itu, beliau menafikan anggota PDRM Labuan sedang lumpuh kerana dijangkiti Covid-19. Berita itu hanya sekadar khabar angin.

Mengenai perkembangan tangkapan Kumpulan pengganas Abu Sayyaf, beliau berkata, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mendapat kerjasama baik daripada pasukan keselamatan di Filipina.

“Buat masa ini kawalan keselamatan dan pemantauan masih dilakukan dan sebarang cubaan masuk ke Sabah tanpa melalui cara yang sah akan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya selepas sesi taklimat keselamatan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, hari ini.

Hazani berkata, dalam lawatan itu PDRM memberikan taklimat ringkas mengenai kawalan keselamatan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita memberi penerangan tentang situasi keselamatan secara umum dan secara amnya situasi keselamatan di Sabah memang terkawal.

“PDRM akan terus komited memastikan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dipatuhi dan dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Dalam taklimat selama 45 minit itu, Ketua Menteri agak berpuas hati dengan hasil gerak kerja PDRM serta agensi lain dalam memastikan pematuhan SOP dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dapat dicapai,” ujarnya.