PdPR Atas Bukit Seperti Tiada Penghujung

PAPAR: Sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sudah dilaksanakan untuk tahun kedua.

Ini bermakna sudah hampir dua tahun juga tiga beradik di Kampung Kopozon Gana mengulangi rutin harian mendaki bukit sejauh dua kilometer (km) hanya untuk mendapatkan liputan internet untuk sesi PdPR.

DONNA FIONA

Donna Fiona David,17, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini berkata, dia sampai pernah hampir berputus asa mengikuti PdPR semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Namun, selepas melihat kakaknya, Debra yang memperoleh 7A dalam peperiksaan SPM 2020, dia terus bersemangat untuk mendapatkan keputusan cemerlang.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) ST Mary ini berkata, biarpun terpaksa mendaki bukit setiap hari, kakaknya masih mampu menjadi pelajar cemerlang SPM. Jadi, dia percaya dirinya juga mampu berjaya.

Anak kelima daripada lapan beradik ini berkata, dia menyimpan hasrat untuk menjadi polis setelah melihat bapa saudaranya kini seorang pegawai Imigresen.

Menurutnya, tidak kira betapa sukar untuk menuntut ilmu, jangan pernah putus asa kerana kejayaan itu tidak datang bergolek.

Namun, dia masih meletak harapan agar menara telekomunikasi di kawasan kampungnya dapat dibina demi kemudahan penduduk di situ.

“Bila ibu temankan kami setiap minggu naik bukit, saya pandai risau bagaimana kalau keputusan SPM tidak bagus nanti. Itu pasti mengecewakan ibu bapa yang sudah bersusah payah membantu memastikan kami dapat mengikuti PdPR,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, ibunya Rosalia Onlon, 46, berkata, gajet yang agak terhad menyukarkan anak-anak mengikuti PdPR kerana terpaksa menunggu giliran untuk menggunakannya.

Disebabkan Donna akan menduduk SPM, gajet akan digunakan olehnya terlebih dahulu kemudian baru giliran dua adiknya iaitu Richie Declare,11, dan Felisah Brisha,7.

“Kami bukannya orang senang jadi tidak dapat menyediakan gajet untuk setiap seorang anak yang bersekolah. Nasib baik anak-anak begitu memahami dan sanggup berkongsi untuk belajar,” ujarnya.

Rosalia berkata, hanya di kawasan ladang getah ini sahaja ada liputan internet jadi, dia sanggup mengiringi tiga anaknya naik ke atas bukit setiap minggu.

Atas sebab itulah, bapa mereka membina sulap di sini. Dulu sulap ini berbumbung tapi sudah rosak.

Tambahnya, masalah liputan internet di rumah mereka semakin teruk sejak tiga tahun kebelakangan ini dan diharap pembinaan menara telekomunikasi dipercepatkan di situ.

Bapanya, David Lamaris, 57, berkata, sejak diserang strok dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya bergantung kepada kerja sambilan membawa lori.

Dia juga bergantung kepada bantuan kebajikan jadi dia tidak dapat menyediakan telefon pintar untuk anak-anak yang perlu mengikuti PdPR ketika pandemik Covid-19 ini.

Namun, baru-baru ini dia layak mendapatkan telefon Yes percuma di bawah Jaringan Prihatin. Telefon itulah yang digunakan oleh anak-anak untuk sesi PdPR.