PBT Perlu Periksa Bahan Digunakan Pemaju Sebelum Beri Kelulusan

728
A photograph of Beverly Hills for illustration only. – Photo courtesy of Abby Tan, Property Guru

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Jimmy Wong menyarankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengingatkan setiap pemaju supaya menggunakan bahan-bahan yang berkualiti dan berdaya tahan sebelum meluluskan sesuatu Pelan Pembangunan (DP) bagi projek perumahan.

Ini berikutan masalah yang sering dihadapi penghuni apartmen yang berdepan dengan masalah air selepas tempoh tertentu.

Seperti dalam kes yang berlaku baru-baru ini di Apartmen Beverly Hills Fasa 2, pengurusan apartmen berdepan dengan masalah bil air yang tinggi akibat kebocoran paip bawah tanah yang tidak disedari.

Atas sebab itu, saya berharap apabila PBT meluluskan DP, mereka perlu memastikan paip yang digunakan mendapat kelulusan Sirim dan bukannya paip yang diperbuat daripada bahan kitar semula yang berada di pasaran.

Katanya, setiap bahan yang digunakan pemaju hendaklah mengikut spesifikasi yang ditetapkan.Tidak kira sama ada ianya paip mahupun bahan binaan seperti simen mahupun pasir.

Jimmy Wong, kiri,bersama Jannie Lasimbang di pertemuan dengan Beverly Hills Management Corporation.

Disamping itu, Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) juga harus memainkan peranan dalam memastikan ahli-ahlinya menggunakan bahan binaan yang sepatutnya ketika melaksanakan sesuatu projek pembinaan hartanah.

Ini bagi memastikan kepentingan penghuni terpelihara kerana mereka yang akan menduduki apartmen itu untuk tempoh yang lama, kata Wong.

Pihak berkuasa juga harus memeriksa bahan-bahan yang digunakan kerana ada sesetengah kontraktor menggunakan bahan yang tidak mengikut spesifikasi standard.

Dalam kes di Beverly Hills ini, pemaju berkaitan diharap dapat membantu pihak pengurusan dalam menyelesaikan permasalahan kebocoran paip ini dengan membina paip yang bukan berada di bawah tanah.

Namun kos perbelanjaannya agak tinggi, pihak pengurusan tidak mampu membiayai kos berkenaan bersendirian.

“Oleh itu, saya berharap pemaju dapat memberi bantuan secara sukarela untuk mengatasi masalah yang melanda 996 penghuni di situ.

“Saya melihat perkara ini mungkin berpunca daripada paip yang tidak berkualiti hingga menyebabkan ia sering mengalami kebocoran,” katanya kepada media semasa Sesi Pertemuan bersama Beverly Hills Management Corporation, di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini pada Selasa.

Jimmy berkata, pengurusan apartmen itu terpaksa berdepan dengan bebanan tunggakan bil air yang tinggi iaitu mencecah hampir RM500,000.

Oleh itu, setiap penghuni yang tinggal di Apartmen Beverly Hills Fasa 2 diharap dapat membayar RM500 kepada pengurusan bagi membolehkan tunggakan itu dapat dijelaskan kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Jika tunggakan itu gagal dijelaskan, bekalan air untuk semua 21 blok apartmen itu mungkin akan dipotong oleh pihak pengurusan.

Sementara itu, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri merangkap ADUN Kapayan Jannie Lasimbang memberi jaminan pihaknya akan membantu menyelesaikan permasalahan ini.

Pengerusi Majlis Jawatankuasa Penduduk Beverly Hills Fasa 2, Susan Taylor berkata, JANS memberi kelonggaran kepada pengurusan membayar tunggakan itu secara ansuran dalam tempoh lima bulan.

Maka, beliau berharap kesemua penduduk dapat memberi kerjasama membayar RM 500 sekali sahaja bagi membolehkan pihak pengurusan menyelesaikan tunggakan yang ada.

Katanya, mana-mana penduduk yang gagal membayar RM500 kepada pihak pengurusan sehingga 3 Disember ini, pengurusan terpaksa memotong bekalan air di unit berkenaan.