PBS Sambut Baik Hasrat Kerjasama Dengan Warisan

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyambut baik hasrat Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal untuk membentuk kerjasama sebagai parti tempatan.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, dengan asas perjuangan politik berbilang kaum, PBS sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Warisan mahupun parti pembangkang lain.

Beliau berkata, PBS diketahui sebagai parti yang berpegang kepada prinsip perjuangan untuk menuntut hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), memperjuangkan undang-undang anti lompat parti serta melindungi keselamatan Sabah terutama dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin.

“Dengan asas perjuangan itu, kami terbuka untuk mencari kawan dan rakan sekutu untuk berkongsi asas perjuangan yang sama.

“Atas sebab itu, kami mengambil maklum tentang kesediaan Shafie Apdal untuk bekerjasama dengan kami demi kepentingan rakyat Sabah,” ujarnya.

Sebagai rakan dalam kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), PBS sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Warisan.

Maximus berharap rakan lain dalam GRS juga bersikap terbuka dalam menerima kerjasama ini. Sudah tentu, PBS menghargai kerjasama bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) melalui kerjasama dalam GRS dan Perikatan Nasional.

“Kami selesa dengan situasi semasa kerana kami dapat berkhidmat kepada rakyat Sabah di peringkat nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya berharap hasrat baik untuk membentuk kerjasama politik daripada Warisan itu dan maklum balas PBS atas dasar persahabatan dalam politik serta bagi memperbaiki kestabilan politik negeri serta membangunkan sosio ekonomi Sabah, demi keselamatan Sabah terutama daripada PATI.

Beliau menegaskan bagi PBS, strategi dan kepentingan itu perlu diberi pertimbangan. Kita harus mengalu-alukan kerjasama ini demi rakyat Sabah selagi niat itu ikhlas dan bukan atas syarat kepentingan peribadi.

Pada Selasa, Warisan menyatakan hasrat dan kesediaan untuk bekerjasama dengan PBS kerana mereka adalah rakan sekutu dalam memperjuangkan hak Sabah.