PBS Mahu Rakyat Tunggu 30 Tahun Lagi Untuk Dapat Geran?

ISMAIL AYOB

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) seolah-olah cuba menghalang usaha murni kerajaan untuk memberikan geran tanah kepada rakyat apabila meminta pihak berkuasa melakukan siasatan.

Timbalan Ketua Wira Warisan Sabah, Mohd. Ismail Ayob berkata, jika siasatan dijalankan, semua perancangan pemberian geran mungkin terpaksa dihentikan, malah kemungkinan besar geran yang sudah dikeluarkan turut ditarik balik untuk disiasat.

“Selama 30 tahun rakyat tunggu, ada yang menangis ketika mendapat geran sebab itu tanah dibangunkan ibu bapa mereka yang sudah tiada tetapi kini penantian telah berakhir.

“PBS pula mahu siasatan dibuat? Apa motif mereka sebenarnya sebab mereka pernah menjadi kerajaan berpuluh tahun tetapi tidak melakukan apa-apa dan sekarang cuba menghalang langkah kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan siasatan terhadap Shafie berikutan penyerahan geran tanah yang dilakukan kerajaan Warisan.

Mohd. Ismail berkata, Jahid cuba menjadi hero dengan mengaitkan pemberian geran itu dengan salah guna kuasa, namun beliau terlupa bahawa apa yang dilakukan adalah untuk rakyat Sabah dan sangat dinanti-nantikan.

Tegas beliau, kelulusan geran tanah adalah daripada Jabatan Tanah dan Ukur manakala Ketua Menteri memainkan peranan mendesak agar kelulusan itu dipercepatkan demi kepentingan rakyat.

Justeru katanya, tiada sedikit pun kesalahan dilakukan sebaliknya menyerlahkan lagi peribadi Mohd. Shafie sebagai pemimpin yang ikhlas berkhidmat untuk rakyat.

Sehubungan itu, beliau meminta agar pemimpin PBS menginsafi tindakan mereka selama ini yang membiarkan sahaja kerajaan pimpinan Tan Sri Musa Aman merampas tanah rakyat demi kepentingan politik mereka dan kroni masing-masing.

“Kalau mahu jadi hero biarlah bertempat, bukannya menjadi hero yang tidak berakal sampai perkara baik seperti ini pun mahu diputar belit.

“Mungkin PBS mahu rakyat menunggu 30 tahun lagi untuk dapat tanah?,” katanya.