PBS Kita Serumah Dengan PAS

Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung PBS, Jahid Nordin Jahim menandatangai perjanjian yang menjadikan PBS sekutu PN dan sebumbung dengan Pas. Turut hadir Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan.

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) akhirnya menyertai PAS dengan gabungan Parti Perikatan Nasional(PN) setelah menandatangani perjanjian kerjasama dengan pemimpin PN di Tamparuli, semalam.

Setiausaha Agung PBS, Jahid Jahim, dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu sama seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang merupakan rakan kongsi PN.

Katanya, PBS hanya akan bekerjasama dengan PN tanpa menjadi anggota gabungan baharu itu.

Menurut Jahid, perjanjian itu membolehkan PBS menggunakan logo dan bendera sendiri semasa kempen pilihan raya.

“Ini adalah istimewanya mengenai kedudukan PBS. Kami berdiri sendiri. Sepenuhnya autonomi dan tidak ditentukan oleh mana-mana pihak, namun merupakan sebahagian daripada keluarga PN yang lebih besar, untuk bersama-sama membangun dan menjadikan Malaysia lebih besar,” jelasnya.

Sehubungan itu, PBS mendedahkan parti itu akan menggunakan gambar dan mesej Presiden PN, Muhyiddin Yassin sebagai sebahagian daripada kempen mereka.

Bagaimanapun, berdasarkan perjanjian 20 Perkara Sabah, walaupun tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia, agama rasmi tidak sepatutnya diadakan di Borneo Utara.

Perjanjian 20 Perkara Sabah juga menyatakan segala perundangan mengenai agama Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaya tidak harus digunakan di Borneo Utara.

Justeru, kerjasama PBS dan sekutunya dalam PN seakan-seakan parti ini tidak sensitif dan peka dengan kehidupan perpaduan masyarakat di Sabah yang terdiri daripada pelbagai agama.

Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Nik Mohammad Zawawi Salleh pernah mendakwa bahawa alkitab agama Kristian telah dipesongkan.

Kenyataaan itu bukan sahaja menimbulkan kemarahan kepada masyarakat Kristian tetapi juga kepada masyarakat Islam di Sabah kerana pengaruh yang dibawa oleh PAS mampu menggugatkan keharmonian dan perpaduan yang sedia ada di negeri ini.