PBS Bertanding PRK Parlimen Sandakan

3018

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini mengesahkan bertanding di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, keputusan tersebut dibuat biro politik parti itu dalam satu mesyuarat baru-baru ini.

Menggambarkan keputusan itu sebagai ‘memenuhi sokongan dan permintaan akar umbi’, menurut beliau, PBS sedang menapis ‘senarai nama yang panjang’ untuk mencari calon boleh menang terbaik.

“Parti masih lagi memeriksa senarai dan berharap dapat membuat pengumuman sebelum hari penamaan calon.

“Kami ada senarai panjang calon berpotensi dan nama-nama masih lagi diserahkan oleh ahli kami dan rakyat akar umbi di Sandakan,” katanya.

Beliau berkata, senarai nama termasuk pemimpin dalaman PBS serta dari luar.

“Kami sangat teruja untuk mengibar bendera sendiri dalam PRK itu. Kami merayu pengundi di Sandakan untuk menyokong PBS sebagai suara mereka di Parlimen.

“PBS juga bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti lawan sama ada peringkat nasional atau tempatan,” katanya.

Kali terakhir PBS bertanding menggunakan logo sendiri ialah pada pilihan raya umum 1999 sebelum parti itu menyertai semula Barisan Nasional (BN) pada 2002.

PBS telah pun meninggalkan gabungan berkenaan selepas pilihan raya umum tahun lalu berikutan prestasi buruk bekas parti kerajaan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei sebagai tarikh PRK Parlimen Sandakan selepas kematian penyandangnya iaitu Pengerusi DAP Sabah, Datuk Stephen Wong pada 28 Mac.

Parlimen Sandakan mempunyai 39,777 pengundi berdaftar terbahagi kepada 49 peratus Cina, 44 peratus bumiputera Islam dan enam peratus bumiputera bukan Islam.