Patuhi Undang-Undang Buruh – Pengarah JTK Sabah Ingatkan Majikan

KOTA KINABALU: Jabatan Tenaga Kerja Sabah menggesa semua majikan agar mematuhi undang-undang buruh yang dikuatkuasakan terutamanya Ordinan Buruh Sabah (Sabah Bab 67) bagi memberi perlindungan, faedah-faedah dan hak-hak pekerja.

Pengarah Tenaga Kerja Sabah Kamal Pardi berkata tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan yang tidak mematuhi undang-undang buruh.

“Setakat bulan ini, dua majikan telah didakwa dan disabitkan atas kesalahan kegagalan mengikut perintah Gaji Minima 2012 dan gagal mematuhi perintah Pengarah Tenaga Kerja di bawah seksyen 7A Ordinan Buruh Sabah (Sabah Bab 67).

“Di bawah ordinan itu, syarikat diperintahkan membayar tuntutan pekerja yang sepatutnya dibayar bagi bayaran gaji tertunggak dan bayaran kerja lebih masa pada hari biasa, hari rehat dan cuti umum.

“Jumlah denda yang telah dikenakan oleh mahkamah terhadap kedua-dua majikan adalah sebanyak RM5,500,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Kamal, sepanjang tahun 2016, jumlah denda mahkamah bagi tempoh Januari sehingga Disember adalah berjumlah RM23,000 melibatkan lima syarikat manakala jumlah kompaun yang telah dikutip bagi tempoh yang sama adalah sebanyak RM62,000 membabitkan 52 majikan di seluruh negeri Sabah.

Katanya jabatan ini akan memperketatkan lagi penguatkuasaan pelaksanaan gaji minimum pada tahun ini dan tidak teragak-agak untuk mendakwa mana-mana majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2016.